Perpustakaan Desa Hulu Maludam jadi contoh terbaik pendekatan literasi inklusif

56 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

SEGAMAT, 19 Sept: Perpustakaan Desa Kampung Hulu Maludam, Sarawak menjadi antara contoh perpustakaan desa yang berjaya memperluas peranannya menerusi pelaksanaan pelbagai program literasi mengikut keperluan masyarakat setempat.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Edy Irwan Zulkafli berkata, pelaksanaan kelas membaca untuk golongan dewasa di perpustakaan berkenaan membuktikan peranan perpustakaan desa kini tidak lagi terhad kepada penyediaan bahan bacaan.

“Perpustakaan Desa Kampung Hulu Maludam juga menerima Anugerah Perpustakaan Awam Ketua Menteri Sarawak pada 2020 dan terus mencatat pencapaian cemerlang menerusi Anugerah Perpustakaan Desa Pusat Komuniti dari 2022 hingga 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tekad Komuniti, Semarak Perpaduan Segamat di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj.

Menurut Edy Irwan, pencapaian berterusan itu menunjukkan perpustakaan desa mampu menjadi pemangkin perubahan apabila perkhidmatan dan program yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan yang dilaksanakan di Perpustakaan Desa Kampung Hulu Maludam boleh diperluas ke perpustakaan desa lain, khususnya menerusi pelaksanaan kelas membaca bagi membantu masyarakat yang memerlukan bimbingan.

“Kita mahu perpustakaan desa menjadi ruang inklusif, tempat kanak-kanak mahupun orang dewasa berasa selesa untuk belajar tanpa mengira tahap penguasaan membaca mereka.

“Peranan perpustakaan desa amat penting bagi memupuk budaya dalam kalangan komuniti,” katanya.

Program Tekad Komuniti, Semarak Perpaduan Segamat merupakan inisiatif strategik PNM melalui Perpustakaan Desa yang menggabungkan elemen literasi, warisan, seni budaya dan pembelajaran sepanjang hayat.

Program berkenaan berteraskan agenda Malaysia MADANI dan aspirasi perpaduan negara, selain mengetengahkan kekuatan warisan Johor menerusi pertandingan, bengkel serta aktiviti berkaitan sejarah, pelancongan, makanan, warisan dan budaya. – TVS

Read Entire Article