ADVERTISE HERE
CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua lapisan rakyat termasuk sektor swasta untuk mengangkat semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis kediaman dan pejabat masing-masing.
Anwar berkata beliau berharap semua rakyat dapat menjayakan misi itu seiring tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.
“Ini bukan isu kaum, parti, kedudukan atau pekerjaan, ini soal jati diri, maruah, harga diri. Ini satu negara bila merdeka kibaran bendera meluas di seluruh negara, dipasang di setiap gerai warung dan rumah dan pondok, setiap sekolah, masjid, kuil, gereja dan setiap jabatan.
“Jadi pastikan kita jadikan tahun ini sebagai tahun yang mempamerkan kemegahan rakyat dan negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, barisan menteri Kabinet dan Komuniti MADANI.
Bagi menjayakan misi itu, Anwar berkata pemantauan akan dilaksanakan di semua peringkat termasuk peringkat jabatan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, menteri di kementerian masing-masing, Komuniti MADANI, kerajaan negeri, pemimpin agama dan masyarakat di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, beliau berharap agar pihak swasta dapat bersama-sama dengan kerajaan menjayakan misi mengibar Jalur Gemilang sempena HKHM 2024.
“Kerja mereka meniaga, catat keuntungan. Saya nak beritahu kalau negara tidak aman, negara tidak untung, kalau tiada pengorbanan polis, tentera, pasukan keselamatan di perbatasan, tidak ada pelaburan baharu.
“Jadi tunjukkanlah dukungan kamu termasuk swasta untuk bersama rakyat dan negara, kibarkan Jalur Gemilang... saya harap mesej ini jelas,” kata Anwar.
Selain itu, Perdana Menteri mengajak rakyat mengimbau kembali sejarah perjuangan tokoh dan rakyat terdahulu yang bersatu hati dan sanggup mengorbankan apa sahaja yang dimiliki demi meraih kemerdekaan negara.