Semangat pembentukan Malaysia perlu terus dihormati – Adam Yii

57 minutes ago 7
ADVERTISE HERE

MIRI, 15 Sept: Sambutan Hari Malaysia wajar menjadi ruang untuk rakyat menghayati sejarah pembentukan negara serta menghargai semangat persefahaman dan kerjasama yang menjadi asas kepada penubuhan Malaysia, jelas Setiausaha Publisiti dan Penerangan SUPP Pusat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii.

Jelasnya, Hari Malaysia yang disambut pada 16 September bukan sekadar satu perayaan, sebaliknya peluang untuk generasi hari ini memahami perjalanan sejarah negara.

Beliau berkata, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, manakala Malaysia secara rasmi dibentuk pada 16 September 1963 dengan penglibatan Sarawak dan Sabah.

“Sejarah ini penting untuk terus diwariskan kepada generasi muda supaya mereka memahami bagaimana Malaysia dibentuk serta peranan Sarawak dalam perjalanan sejarah negara.

“Sarawak merupakan antara wilayah yang bersama-sama membentuk Malaysia dan sejarah ini wajar terus dihargai serta dihormati,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Menurut Adam, pemahaman terhadap sejarah pembentukan Malaysia juga penting dalam usaha menghargai semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk kedudukan serta peranan Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan.

Beliau berkata, beberapa perkembangan positif telah dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi kerjasama dan rundingan berterusan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

Dalam masa sama, katanya, beberapa perkara berkaitan MA63 masih dalam proses perbincangan dan pelaksanaan.

“Diharapkan segala usaha dan rundingan yang sedang dijalankan dapat terus diperkukuhkan agar perkara-perkara yang telah dikenal pasti dapat dilaksanakan secara berperingkat demi kepentingan bersama,” katanya.

Adam berkata, usaha memperkukuh autonomi, pembangunan serta kedudukan Sarawak dalam Persekutuan tidak seharusnya dilihat sebagai usaha untuk menjauhkan negeri itu daripada Malaysia.

Sebaliknya, beliau berkata, Sarawak yang terus berkembang dan maju dalam pelbagai bidang akan turut menyumbang kepada kekuatan Malaysia secara keseluruhannya.

“Sarawak yang kukuh ekonominya, terus maju dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pembangunan akan memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Sarawak, malah kepada negara.

“Dalam semangat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain, kita dapat terus membina sebuah Malaysia yang lebih kukuh dan sejahtera,” katanya.

Beliau turut menyeru generasi muda untuk memahami sejarah tanah air, menghargai peranan Sarawak dalam pembentukan Malaysia serta terus memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Marilah kita terus menghormati sejarah, menghargai kepelbagaian dan memelihara keamanan serta keharmonian yang menjadi kekuatan negara kita.

“Saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya. TVS

Read Entire Article