Program Sarawakku Sayang Betong pada 25 hingga 27 September

57 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

BETONG, 19 Sept: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Siri Ketujuh bagi Bahagian Betong akan berlangsung semula dari 25 hingga 27 September ini di Kompleks Sukan Betong selepas ditangguhkan sebelum ini berikutan keadaan jerebu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata perkembangan cuaca ketika ini serta ramalan positif Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memberi petanda baik untuk program itu diteruskan.

“Itulah sebab kita menunda itu dari tarikh yang asal kerana waktu itu jerebu sudah agak berbahaya, tetapi beberapa hari terakhir nampaknya lebih baik dan menurut ramalan meteorologi mungkin ia tidak akan lebih teruk daripada hari ini. Kita doa jerebu makin kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Sarawakku Sayang Zon Tengah Bahagian Betong di sini, hari ini.

Katanya, program berkenaan dijangka menarik sekurang-kurangnya 7,000 pengunjung, dengan 48 agensi menyediakan 158 jenis perkhidmatan kepada masyarakat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dijadual hadir sebagai tetamu kehormat bagi merasmikan program itu pada 26 September, selain melawat beberapa projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Uggah berkata, sokongan dan penyertaan masyarakat amat dialu-alukan, selain perkembangan infrastruktur jalan yang semakin baik dijangka memudahkan orang ramai menghadiri program berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, berkata program turut diserikan Malam Budaya Sarawak pada 25 September, Konsert Rakyat pada 26 September serta Fun Run sejauh lima kilometer pada 27 September.

Antara artis yang dijadual membuat persembahan ialah Mawad, Lucy M, Baby Shima, Bob Yusuf dan Qian En.

SKS Betong turut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM120,000, termasuk hadiah utama e-peraduan berupa sebuah kereta.

Selepas Betong, SKS dijadual berlangsung di Bahagian Mukah dari 2 hingga 4 Oktober, diikuti Sri Aman dari 16 hingga 18 Oktober sebelum diteruskan di Kota Samarahan, Serian dan Kuching sehingga akhir November.

Read Entire Article