Sumbangan televisyen pintar perkasa pembelajaran digital SMK Santubong

1 hour ago 3
ADVERTISE HERE

KUCHING, 17 Sept: Usaha memperkasa pembelajaran digital di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong dipertingkat menerusi sumbangan empat televisyen pintar daripada Maybank Wilayah Sarawak melalui Program Cahaya Kasih Maybank.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kemudahan itu mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih interaktif, selain membantu guru menerapkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, sumbangan berkenaan juga menjadi sebahagian daripada kesinambungan kerjasama antara Maybank dan Parlimen Santubong dalam menyokong pembangunan pendidikan.

“Tahun ini, kerjasama diteruskan di SMK Santubong dengan memberi tumpuan kepada transformasi pendidikan digital.

“Dengan adanya televisyen pintar ini, suasana pembelajaran akan lebih interaktif, menarik dan selaras dengan perkembangan teknologi pendidikan masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Maybank Global Corporate Responsibility (CR) Day 2026 dan Program Cahaya Kasih Challenge 2026-2027 di SMK Santubong di sini, hari ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, pendidikan kekal menjadi antara keutamaan kerana akses kepada pendidikan berkualiti mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda.

Katanya, pendidikan bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah berupaya meningkatkan pendapatan dan membantu keluarga membina kehidupan lebih baik.

Sehubungan itu, beliau menyeru pelajar SMK Santubong supaya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan peluang yang disediakan serta tidak menjadikan lokasi kediaman atau latar belakang keluarga sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan.

“Gunakan segala kemudahan dan peluang yang diberikan ini dengan sebaik mungkin. Jadikan pendidikan sebagai jalan untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga,” katanya.

Program berkenaan turut menyediakan bimbingan dan sokongan berterusan kepada penerima manfaat selama dua tahun bagi memastikan manfaat yang diterima lebih menyeluruh dan berkekalan. – TVS

Read Entire Article