ADVERTISE HERE
SANDAKAN, 19 September: Hujan dan panas terik tidak lagi menjadi halangan kepada peniaga kecil di Kampung Kitagas, Ulu Dusun, selepas sebuah Tamu Desa dibangunkan bagi menyediakan ruang niaga lebih selesa kepada penduduk setempat.
Kemudahan bernilai RM200,000 itu dibangunkan menerusi Program Tamu Desa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan siap pada Jun lalu.
Tamu Desa Kitagas kini boleh dimanfaatkan penduduk dari kira-kira 14 kampung sekitar untuk menjual hasil pertanian, makanan dan pelbagai produk tempatan.
Pengerusi Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad, Dr Peter Naintin berkata, keperluan mewujudkan ruang niaga itu dikenal pasti selepas pihaknya meninjau lebih 50 kampung di kawasan Libaran.
Menurutnya, kebanyakan peniaga di Ulu Dusun sebelum ini menjalankan perniagaan di tepi jalan dalam keadaan kurang selamat dan selesa.
“Kita rasa keselamatan dan keselesaan mereka tidak begitu baik. Jadi, dengan inisiatif itu, kita bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan untuk mengenal pasti para usahawan ini dan mengumpulkan mereka di satu kawasan,” katanya.
Premis itu turut boleh digunakan untuk mesyuarat, program kerajaan, sambutan masyarakat dan aktiviti komuniti.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, sebahagian besar peniaga di tamu-tamu desa terdiri daripada golongan wanita, khususnya ibu yang berniaga bagi menambah pendapatan keluarga.
“Kalau kita lihat sendiri di lapangan, sebahagian besar atau hampir semua yang berniaga di tamu-tamu ini adalah wanita dan ibu-ibu. Sebab itu, ini adalah hadiah kita kepada mereka dengan menyediakan keselesaan lebih baik. Sekurang-kurangnya apabila hujan, mereka tidak basah dan apabila panas terik, mereka tidak lagi merasai bahangnya seperti sebelum ini,” katanya.
Ketika merasmikan Tamu Desa Kitagas, Ewon turut mengumumkan peruntukan tambahan RM200,000 pada tahun depan bagi menambah baik kemudahan di premis berkenaan.
Inisiatif Tamu Desa untuk Sabah dan Sarawak mula dilaksanakan Kerajaan Persekutuan pada 2024.
Ewon berharap program itu diteruskan menerusi Belanjawan 2027 bagi menyokong kegiatan ekonomi dan memperkukuh peranan tamu sebagai pusat komuniti luar bandar. – TVS

1 hour ago
4








English (US) ·