Tawar tiket ‘mampu milik’ sempena Sukma, exco seru syarikat penerbangan

4 months ago 41
ADVERTISE HERE
Pakej pelancongan sukan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan secara tidak langsung akan memberi impak limpahan ekonomi kepada Sarawak, kata Mohd Hairi Mad Shah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan diminta menawarkan harga tiket mampu milik dari Semenanjung ke Sarawak sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang akan berlangsung bermula 17 Ogos ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata, inisiatif itu dilihat dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat untuk menyaksikan temasya dwitahunan terbesar itu.

“Jika pakej pelancongan sukan ditawarkan, ia secara tidak langsung akan memberi impak limpahan ekonomi kepada Sarawak.

“Selain itu, kita turut harap tiada masalah penangguhan penerbangan, ini antara kebimbangan kita,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada pasukan kontinjen Sukma Johor di Iskandar Puteri, disertai Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor Mohd Ekmaluddin Ishak dan Ketua Kontinjen Sukma Johor Pandak Ahmad.

Mohd Hairi berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan kerajaan negeri terhadap syarikat penerbangan sekiranya rakyat Johor dan orang ramai berhasrat menyaksikan temasya itu.

Dalam pada itu, katanya, Johor komited mahu mempertahankan dan mengulangi kejuaraan yang dilakar pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur, dengan sasaran sekurang-kurangnya 60 pingat emas.

Beliau berkata, pihaknya optimis atlet Johor mampu membawa kemenangan meskipun sukan kanu yang menjadi penyumbang besar pingat emas buat negeri itu tidak dipertandingkan pada Sukma kali ini.

Sementara itu, Pandak berkata, acara olahraga menjadi antara ‘lubuk emas’ yang akan menjadi fokus kontinjen selain memanah, judo, taekwando, silat dan bola sepak.

Kontinjen Johor akan diwakili 599 atlet dan 198 pegawai pada Sukma kali ini. Pada edisi 2022, Johor muncul juara keseluruhan apabila meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa, melepasi sasaran 40 emas.

Read Entire Article