ACL2: Jaringan lewat Moses musnah impian satu mata The Cats

8 hours ago 8
ADVERTISE HERE

PHNOM PENH, 17 Sept: Hasrat Kuching City FC membuka kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dengan sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown dalam aksi Kumpulan H di Stadium Nasional Morodok Techo, malam tadi.

Kuching City yang membuat penampilan sulung dalam saingan ACL2 hampir membawa pulang satu mata selepas berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 menerusi Adjin Mugajic.

Bagaimanapun, jaringan lewat Moses Dyer pada minit ke-91 memusnahkan harapan The Cats apabila tandukannya hasil sepakan penjuru memastikan kemenangan 2-1 buat tuan rumah.

Bermula babak pertama, Phnom Penh Crown lebih menguasai permainan dan beberapa kali menguji benteng Kuching City.

Pada minit ke-27, penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli, bertindak pantas menampan bola keluar selepas penyerang tuan rumah berjaya melepasi kawalan pertahanan di dalam kotak penalti.

Pelawat bagaimanapun terus mengimbangi permainan menerusi beberapa serangan balas, termasuk percubaan Ronald Ngah Wanja selepas menerima hantaran daripada Petrus Shitembi, namun gagal menghasilkan jaringan.

Bersambung babak kedua, Phnom Penh Crown terus memberi tekanan dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-49, namun percubaan mereka berjaya diselamatkan.

Serangan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila bekas pemain kebangsaan New Zealand, Moses Dyer meletakkan tuan rumah di depan 1-0 pada minit ke-55 selepas menerima hantaran rakan sepasukan.

Tersentak dengan jaringan itu, Kuching City memasukkan Ajdin Mujagic dan Ramadhan Saifullah bagi menambah sengat di jentera serangan.

Usaha itu hampir membuahkan hasil apabila Jerome Etame melepaskan percubaan pada minit ke-60 yang sedikit melepasi palang, sebelum sekali lagi menguji penjaga gol Phnom Penh Crown tiga minit kemudian.

Pada minit ke-69, giliran Ramadhan Saifullah mencipta peluang namun rembatan pemain itu tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Pertukaran taktikal ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak akhirnya membuahkan hasil apabila Ajdin Mujagic meledak gol penyamaan pada minit ke-72 menerusi rembatan dari sebelah kanan gawang untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Kuching City selepas itu terus mengasak bagi memburu gol kemenangan, namun Phnom Penh Crown kembali mencipta peluang pada penghujung perlawanan.

Ketika aksi seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Moses Dyer muncul sebagai wira tuan rumah apabila menanduk masuk sepakan penjuru pada minit ke-91 untuk melengkapkan kemenangan tuan rumah. – TVS

Read Entire Article