ADVERTISE HERE
JAKARTA, 17 Sept: Malaysia menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan yang turut menyebabkan jerebu rentas sempadan, khususnya di Sarawak, dengan menyediakan sebuah pesawat amfibi Bombardier CL-415MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu disampaikan kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, dalam pertemuan di Istana Wakil Presiden, Jakarta, hari ini.
Katanya, tawaran berkenaan akan dibawa kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk mendapatkan persetujuan pemerintah Indonesia.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat berkata, Malaysia melihat isu kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan sebagai cabaran bersama yang memerlukan kerjasama erat kedua-dua negara tanpa pendekatan saling menyalahkan.
“Sebagai sebuah negara jiran dan sahabat, Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan bekerjasama. Jadi usaha ini kami tidak berhasrat untuk campur dalam halehwal Indonesia tetapi kami berhasrat untuk membantu supaya masalah jerebu yang datang ke Sarawak khususnya itu dapat diselesaikan dengan segera,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, aspek pencegahan bencana perlu diberi perhatian berikutan kejadian kebakaran hutan yang berlaku setiap tahun.
Ahmad Zahid berkata, seluruh aset berkenaan telah diletakkan pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk digerakkan bagi membantu operasi pemadaman kebakaran sebaik sahaja menerima persetujuan daripada Pemerintah Indonesia.
Menurutnya, kerjasama kedua-dua negara tidak seharusnya terhad kepada usaha pemadaman ketika bencana berlaku, sebaliknya perlu diperluas kepada langkah mitigasi dan pencegahan jangka panjang.
Katanya, langkah itu termasuk perkongsian maklumat, penyelarasan operasi serta tindakan awal bagi mengelakkan kejadian sama berulang setiap tahun.
Beliau berkata, kedua-dua negara turut menyedari bahawa jerebu tidak mengenal sempadan dan memberi kesan kepada ruang udara, kesihatan serta kehidupan rakyat.
Sehubungan itu, katanya, penyelesaian secara bersama perlu menjadi keutamaan Malaysia dan Indonesia.
Malaysia turut menghargai persetujuan Indonesia membenarkan penggunaan ruang udara di sempadan Kalimantan bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan oleh pihak Malaysia. -TVS

7 hours ago
9







English (US) ·