ADVERTISE HERE
LIMBANG, 15 Sept: Kawasan Bandar Baharu Limbang dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan projek pembinaan Kompleks Kesihatan Bersepadu (KKB) Hospital Limbang yang menjadi antara projek kesihatan diberi keutamaan di kawasan utara Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, projek berkenaan amat dinanti-nantikan penduduk Limbang dan kawasan sekitarnya bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Menurutnya, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Hanifah Hajar Taib turut meninjau beberapa lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan kompleks berkenaan.
“Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib turut melawat projek untuk pembinaan hospital di Limbang, KKB. Ada dua pilihan tapak di kawasan Bandar Baharu Limbang.
“Selain itu, kita juga ke Medamit untuk melihat tapak klinik yang telah pun diluluskan semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Limbang ketika pelancaran SSLR2 sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi Hanifah pada lawatan ke Klinik Kesihatan Nanga Medamit, Limbang sempena Program Jelajah Kesihatan Borneo, hari ini.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, pelan pembangunan bagi pembinaan Klinik Kesihatan Nanga Medamit baharu dirangka termasuk kerja awalan, tinjauan tapak, reka bentuk dan urusan berkaitan pampasan.
Menurutnya, kerajaan turut memberi perhatian terhadap beberapa isu dan cabaran yang dihadapi warga klinik berkenaan khususnya berkaitan kekurangan fasiliti, bekalan air yang tidak stabil serta kekangan peralatan dan perkakasan perubatan.
“Laluan masuk yang agak sempit ke klinik berkenaan akan dilebarkan dan usaha untuk membawa tangki air ke kawasan itu juga sedang diusahakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hasbi berkata, pembinaan Klinik Kesihatan Long Napir turut amat diperlukan bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan pedalaman yang kini semakin mudah diakses menerusi jaringan jalan raya khususnya susulan pembinaan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).
Beliau berkata, penambahbaikan dan peluasan kemudahan kesihatan di kawasan utara Sarawak penting bagi memastikan penduduk termasuk masyarakat di kawasan pedalaman mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik dan selesa.-TVS

1 day ago
14








English (US) ·