ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sarawak, susulan rundingan bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat atas semangat setia kawan, persahabatan dan semangat Malaysia, meskipun Sarawak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
“Untuk Sarawak, saya katakan kepada Premier Abang Johari kerana kedudukan kewangan Sarawak kuat, tetapi atas semangat setia kawan, semangat persahabatan dan semangat Malaysia, untuk interim bagi Sarawak saya umumkan malam ini RM1.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Pengumuman itu menyusuli kenyataan beliau pada 11 September lalu bahawa pembayaran interim kepada Sarawak sedang diperhalusi bersama Abang Johari dan dijangka diumumkan pada Hari Malaysia.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, rundingan dan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri membuktikan bahawa isu berbangkit mampu diselesaikan.
“Itu rahsia persahabatan dan rundingan yang baik. Tidak ada masalah yang tidak boleh dileraikan dan boleh diselesaikan,” ujarnya.
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah mulai tahun ini, sementara rundingan berhubung penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil negeri itu diteruskan. – TVS

56 minutes ago
5








English (US) ·