Busana Melayu Sarawak, jejak warisan yang kian dilupakan

6 hours ago 7
ADVERTISE HERE

KEUNIKAN busana tradisional Melayu Sarawak bukan sekadar pada reka bentuk dan cara pemakaiannya, malah mencerminkan sejarah, bahasa serta identiti masyarakat Melayu Sarawak yang diwarisi sejak turun-temurun.

Namun, perubahan zaman dan cita rasa generasi muda menyebabkan pengetahuan mengenai busana tradisional berkenaan semakin terhakis, termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak sendiri.

Menyedari keadaan itu, Persatuan Busana Tradisional Melayu Sarawak (BUTRAMES) mengambil inisiatif untuk memastikan warisan berkenaan terus dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi baharu.

Pengerusinya, Sapian Morni, berkata BUTRAMES yang diluluskan pendaftarannya pada 22 Ogos lalu sebelum ini bergerak sebagai Kelab Busana Tradisional Melayu Sarawak sejak tiga tahun lepas.

“Objektif kita menubuhkan persatuan ini adalah untuk melestarikan masyarakat Melayu Sarawak sama ada dari segi adat istiadat, kesenian, budaya dan juga busana pemakaian bangsa Melayu Sarawak.

“Di samping itu, matlamat kita adalah untuk memberi pengenalan kepada masyarakat Melayu Sarawak, terutamanya generasi muda, tentang busana adat tradisional kita sendiri,” katanya ketika ditemu bual bersama TVS, baru-baru ini.

Sapian berkata usaha memperkenalkan semula busana tradisional itu penting berikutan masih ramai generasi muda yang tidak mengetahui bentuk, nama serta kaedah pemakaian busana adat Melayu Sarawak.

Menurutnya, idea penubuhan persatuan itu tercetus selepas mendapati tahap pengetahuan mengenai busana Melayu Sarawak dalam kalangan masyarakat Melayu di negeri ini masih rendah.

“Kita melihat bahawa pengetahuan tentang busana Melayu Sarawak dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri di Sarawak begitu kurang.

“Jadi kita berinisiatif supaya mengekalkan dan melestarikan busana ini supaya menjadi satu warisan yang kekal dengan fakta dan bentuk penggunaannya,” ujarnya.

Sapian menjelaskan masyarakat Melayu Sarawak mempunyai pelbagai kategori busana mengikut kegunaan dan majlis, antaranya busana adat, istiadat, kenduri serta harian.

Katanya, busana Melayu Sarawak turut mempunyai ciri tersendiri yang membezakannya daripada busana masyarakat Melayu di negeri lain, termasuk dari segi nama, bentuk dan kaedah penggunaannya.

Antara yang diketengahkan ialah Kelambih Tajaong yang menurut Sapian mempunyai kaitan dengan bahasa kuno Melayu Sarawak.

“Kelambih itu baju dalam bahasa kuno Melayu Sarawak. Tajaong bermaksud ‘ta’ itu ilmu, ‘jaong’ adalah utama.

“Ertinya pakaian yang dipakai di badan ini adalah ilmu utama dalam bahasa kuno. Maka pakaian ini dinamakan sebagai Kelambih Tajaong,” jelasnya.

Keunikan busana Melayu Sarawak turut terserlah melalui pemakaian hiasan kepala atau dasta yang mempunyai pelbagai bentuk dan nama.

Sapian berkata masyarakat Melayu Sarawak mempunyai tujuh jenis dasta iaitu Jama’alum, Tanjak, Satanjak, Tankolok, Lopok, Lineng dan Tankeliun.

Katanya, setiap jenis dasta mempunyai nama, bentuk dan kaedah pemakaian tertentu berdasarkan warisan masyarakat Melayu Sarawak pada zaman dahulu.

Sebagai contoh, dasta yang digunakannya dikenali sebagai Tankolok, bukannya tengkolok seperti istilah yang lebih lazim digunakan di sesetengah tempat.

Menurut Sapian, ‘tan’ bermaksud kain dalam bahasa kuno, manakala ‘kolok’ bermaksud sanggul, menjadikan Tankolok sebagai kain sanggul yang menutup sebahagian kepala.

Penamaan dasta Melayu Sarawak juga mempunyai pendekatan tersendiri apabila sesetengah nama dikaitkan dengan perbuatan fauna, bunga-bungaan, perlakuan manusia atau resam masyarakat.

Antara nama lama yang disebutnya termasuk Solek Setia, Tanjak Dandan Julangan dan Tajok Batitah.

Sementara itu, Lopok merupakan antara bentuk penutup kepala tradisional Melayu Sarawak yang menurut Sapian mempunyai persamaan tertentu dengan getam dalam tradisi Melayu Kelantan.

Keunikan dasta Melayu Sarawak turut dapat dilihat melalui elemen seperti simpulan dan kaedah lipatan, termasuk istilah tradisional seperti tebing layar, sulik dan puntik.

Bagi memastikan warisan berkenaan tidak terus dilupakan, BUTRAMES merancang pelbagai aktiviti untuk mendekatkan busana tradisional Melayu Sarawak dengan masyarakat, khususnya generasi muda.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dengan persatuan serta badan kesenian lain yang mempunyai kaitan dengan masyarakat Melayu Sarawak di negeri ini. – TVS

Read Entire Article