Hutan Simpan Sabal anjur Hari Terbuka 6 hingga 7 November

53 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

KUCHING, 15 Sept : Hutan Simpan Sabal di Simunjan bakal menjadi tumpuan sebagai destinasi ekopelancongan dan pusat pendidikan alam sekitar menerusi penganjuran Hari Terbuka Sabal yang dijadualkan pada 6 hingga 7 November 2026.

Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad berkata, program 2 hari itu bakal merangkumi pelbagai aktiviti rekreasi menarik bagi menarik minat golongan muda dan keluarga.

“Antaranya, sukan navigasi darat (orienteering), tunggangan motosikal, paintball, menyumpit, sling shot, serta jualan food truck.

“Sabal turut diketengahkan menerusi konsep Healing Forest, iaitu ruang terapi semula jadi bagi menyokong kesihatan fizikal dan mental masyarakat melalui aktiviti seperti forest bathing dan rekreasi hijau,” katanya semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Hutan Sarawak 2025 dan Penghargaan Pesara 2026 di sini, pada Selasa.

Untuk rekod, pembangunan Kompleks Sabal bernilai RM65 juta yang bermula tahun ini dan dijangka siap menjelang 2028 bakal melengkapkan fasiliti penyelidikan, latihan, serta ekopelancongan di kawasan berkenaan.

Kedudukannya yang strategik berhampiran Lebuh Raya Pan Borneo antara Kuching dan Sri Aman menjadikan Hutan Simpan Sabal mudah diakses sebagai destinasi rekreasi keluarga.

Apabila siap kelak, kompleks berkenaan bakal menempatkan pusat penyelidikan, makmal, fasiliti Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA), ruang penginapan, serta tapak perkhemahan dan karavan bagi menyokong ekonomi hijau serta pemuliharaan biodiversiti negeri.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan menyediakan persekitaran kerja yang kondusif, Pejabat Hutan Wilayah Sarikei serta Pejabat Hutan Daerah Lawas telah berpindah ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak baharu di lokasi masing-masing.

“Langkah sama akan disusuli oleh Pejabat Hutan Wilayah Bintulu dan Pejabat Hutan Wilayah Sri Aman pada masa akan datang,” tambahnya. – TVS

Read Entire Article