ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR, 18 Sept: Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) dan Affin Bank Berhad bekerjasama menerusi pakej pembiayaan jangka panjang bernilai US$400 juta bagi meningkatkan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.
Kerjasama itu memberi tumpuan khusus kepada perusahaan milik wanita serta perniagaan di kawasan yang masih berdepan jurang pembiayaan, termasuk Sarawak dan Sabah.
Pengarah Industri Serantau, Kumpulan Institusi Kewangan Asia Pasifik IFC, Allen Forlemu, berkata kerjasama itu berpotensi mewujudkan sekurang-kurangnya 42,000 peluang pekerjaan di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun.
“Perniagaan kecil merupakan pemacu penting kepada peluang pekerjaan dan peluang ekonomi di Malaysia.
“Kerjasama ini berpotensi mewujudkan sekurang-kurangnya 42,000 peluang pekerjaan di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun, di samping memperluas akses pembiayaan kepada usahawan wanita dan perusahaan di luar pusat bandar utama,” katanya menerusi kenyataan media Affin Bank, semalam.
Beliau berkata, IFC mengalu-alukan kerjasama dengan Affin Bank yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam menyokong pertumbuhan PMKS, termasuk perusahaan milik wanita serta komuniti yang kurang mendapat akses pembiayaan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata kerjasama berkenaan meningkatkan keupayaan Affin Bank untuk menyokong perniagaan berpotensi berkembang, khususnya perusahaan milik wanita dan perniagaan di kawasan yang mempunyai akses pembiayaan lebih terhad.
“PMKS berada di tengah-tengah ekonomi Malaysia, mewujudkan peluang pekerjaan, memacu inovasi dan menyokong komuniti di seluruh negara.
“Melalui kerjasama dengan IFC, kami meningkatkan keupayaan untuk menyokong perniagaan yang berpotensi berkembang, khususnya perusahaan milik wanita dan perniagaan di kawasan yang mempunyai akses pembiayaan lebih terhad,” katanya.
Menurutnya, akses kepada modal yang lebih luas penting bagi menyokong pembangunan sosioekonomi, mengukuhkan ekonomi tempatan dan membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan negara.
Kerjasama itu turut memberikan Affin Bank akses kepada modal antarabangsa dan kepakaran pembiayaan pembangunan IFC, selain memanfaatkan rangkaian pelabur antarabangsa bagi menyalurkan modal kepada sektor ekonomi produktif.
Langkah itu selaras dengan Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28) dalam usaha Affin Bank mencapai matlamat menjadi syarikat kewangan paling kreatif dan inovatif di Malaysia. -TVS

3 hours ago
6








English (US) ·