Mordi meletakkan kalungan bunga di pusara mendiang Koperal Paul Nyopis.

Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 31 Julai: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Tasik Biru telah mengadakan upacara sembahyang khas untuk mengenang jasa mendiang Koperal Paul Nyopis Noyeat sempena Hari Pahlawan.

Majlis yang berlangsung di Kampung Rumih dihadiri Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol.

Advertisement

Majlis dimulakan dengan upacara sembahyang khas di kawasan pusara mendiang.

Kalungan bunga diletakkan di atas pusara mendiang sebagai tanda penghargaan dan penghormatan diikuti dengan tabik hormat oleh semua veteran yang hadir.

“Pengorbanan Koperal Paul Nyopis adalah contoh terbaik bagi kita semua tentang erti sebenar patriotisme dan cinta kepada negara.

“Kita harus terus menghargai dan mengingati jasa para pahlawan kita,” kata Mordi.

Koperal Paul Nyopis, yang meninggal dunia 10 tahun lalu, merupakan satu-satunya penerima Pingat Gagah Berani (PGB) pada tahun 1978 dari etnik Bidayuh.

Pingat adalah atas keberaniannya menentang pengganas komunis dalam peristiwa serangan hendap di Jalan Sebuku-Tondong Bau pada tahun 1972.

Mordi juga menegaskan komitmen untuk memperjuangkan hak dan kebajikan para veteran tentera di Parlimen.

“Isu pelarasan pencen untuk veteran yang bersara sebelum tahun 2013 turut dibangkitkan, dengan makluman bahawa ia kini berada dalam proses perbicaraan di Mahkamah Rayuan,” kata Mordi. — DayakDaily