ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR, 16 Sept: Acara Keretapi Sarong 2026 bersempena sambutan Hari Malaysia berjaya mencapai sasaran kehadiran 25,000 peserta di perkarangan Tun Razak Exchange (TRX) yang menjadi lokasi utama program itu.
Perhimpunan mega oleh peserta yang berpakaian tradisional itu sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan menerusi penglibatan komuniti pelbagai latar belakang.
Pengasas acara berkenaan, Shamsul Bahrine Zainuzzaman berkata, angka berkenaan berdasarkan kiraan pihaknya di 12 stesen yang menjadi lokasi pergerakan peserta sebelum mereka menuju ke TRX.
Menurutnya, penganjuran tahun ini turut melalui persiapan rapi termasuk mengambil kira keadaan jerebu yang menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran program.
“Bila timbul masalah jerebu, kita hanya mampu berdoa supaya ia tidak mencapai tahap darurat yang menyebabkan kita terpaksa memberhentikan acara.
“Alhamdulillah, doa dimakbulkan dan kita dapat melaksanakan program ini dengan jayanya pada hari ini,” katanya pada sidang media yang berlangsung di sini.
Keretapi Sarong tahun ini turut tampil dengan beberapa kelainan termasuk pengaktifan stesen khas wanita di Stesen MRT Titiwangsa bagi memberi ruang kepada golongan itu untuk meraikan Hari Malaysia dengan lebih selesa.
Beliau berkata, idea itu tercetus ekoran komuniti wanita yang mahu turut berkarya sekali gus membuktikan Keretapi Sarong merupakan gerakan pelbagai komuniti.
Selain itu, Keretapi Sarong turut diperluaskan ke tiga lokasi baharu iaitu Padang Besar di Perlis, Pulau Langkawi di Kedah serta Sarawak.
“Sambutan di Sarawak akan berlangsung pada 12 Disember depan menerusi konsep Perahu Sarong,” katanya.
Katanya, pemilihan konsep itu mengambil inspirasi daripada perahu tambang yang sinonim dengan masyarakat di Kuching, selain membawa semangat pergerakan yang menjadi identiti utama Keretapi Sarong.
Shamsul Bahrine berkata, kira-kira 25 penambang perahu di Kuching telah dihubungi bagi menjayakan Perahu Sarong, selain beberapa aktiviti termasuk aksi merentas sungai yang akan membabitkan seorang figura artis sebagai gimik pelancaran.
Sambutan Keretapi Sarong tahun ini turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bersama Aina Abdul serta barisan artis tanah air lain yang menghiburkan peserta di perkarangan TRX.-TVS

1 hour ago
5








English (US) ·