Kaunter bergerak BUDI Diesel dicadang diperluas di Sabah, Sarawak – Mustapha

1 hour ago 6
ADVERTISE HERE

KOTA KINABALU, 17 Sept: Program Kaunter Bergerak BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dicadang diperluas di Sabah dan Sarawak bagi memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada menikmati manfaat penambahbaikan program itu berikutan kekangan akses digital.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata realiti geografi kedua-dua negeri memerlukan pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat dan tidak hanya bergantung kepada portal dalam talian.

“Kita tidak seharusnya bergantung kepada portal dalam talian semata-mata. Realiti geografi Sabah dan Sarawak, khususnya bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman, memerlukan pendekatan yang lebih dekat dan bersifat hands-on.

“Saya mencadangkan supaya program seperti Kaunter Bergerak BUDI Diesel diperluas dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di Sabah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarawak, Pejabat Daerah, KPDN serta agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu penting supaya tidak ada rakyat yang tercicir hanya kerana kurang mendapat maklumat, tidak memahami prosedur permohonan atau menghadapi kekangan akses digital.

Mustapha turut menyeru Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan memperkukuh kerjasama dengan struktur kepimpinan masyarakat peringkat akar umbi.

“Jaringan kepimpinan akar umbi ini berada paling dekat dengan masyarakat dan boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat, mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan serta membimbing rakyat dalam proses semakan kelayakan, permohonan, rayuan dan pemindahan kelayakan BUDI Diesel,” katanya.

Mustapha berkata penambahbaikan BUDI Diesel yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam amat signifikan kepada Sabah dan Sarawak kerana mengambil kira realiti penggunaan kenderaan di kedua-dua wilayah.

Berdasarkan ketetapan baharu, pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana pengguna sebenar kenderaan diesel persendirian yang layak, berkuat kuasa serta-merta.

Pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian juga boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Mustapha berkata penambahbaikan itu sebagai bukti Perdana Menteri mendengar suara rakyat Sabah dan Sarawak namun dasar yang baik hanya akan mencapai matlamatnya apabila rakyat akar umbi dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

Beliau berkata maklum balas berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak akan terus dibawa ke peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri supaya perkara itu terus mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan. – TVS

Read Entire Article