ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Seorang lelaki maut dipercayai akibat sesak nafas dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Temenggong Haji Gobil, di sini, pagi tadi.
Mangsa yang berusia 48 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik ketika pemeriksaan pasca kebakaran dijalankan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 pagi sebelum tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat struktur separuh kekal berkeluasan kira-kira 30 x 50 kaki persegi.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati bahagian dapur rumah berkenaan terbakar dengan anggaran kemusnahan sekitar 30 peratus,” menurut kenyataan itu.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 10.22 pagi sebelum kebakaran dipadamkan sepenuhnya.
Bagaimanapun, pemeriksaan pasca kebakaran menemukan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik di rumah berkenaan.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pihak bomba turut menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM untuk tindakan lanjut.
Operasi diketuai PBK I Pandi bin Seh dengan kekuatan lapan anggota membabitkan lima jentera FRT dan tiga URVAN.-TVS

1 hour ago
4







English (US) ·