Perluasan pemindahan kelayakan BUDI Diesel ambil kira rayuan rakyat – Nanta

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 17 Sept: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyambut baik keputusan kerajaan memperluas kemudahan pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), yang disifatkannya sebagai langkah mengambil kira rayuan dan keperluan rakyat.

Beliau berkata sebarang usaha yang dapat meringankan beban rakyat wajar diberi perhatian, termasuk dalam pelaksanaan dasar subsidi.

“Kita mengalu-alukan apa saja yang boleh dikatakan meringankan beban rakyat. Jadi subsidi itu memanglah tujuannya tak lain tak bukan untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Stor Rampasan Pejabat Penguatkuasaan Kastam, di sini, hari ini.

Nanta berkata kerajaan pada masa sama perlu mengambil kira pertimbangan ekonomi dalam menguruskan subsidi, namun rayuan rakyat juga perlu diberi perhatian dalam membuat keputusan.

“Walaupun kita boleh memikirkan secara lebih dalam dari segi ekonomi, mungkin sesuatu itu agak baik kalau kita buat, mengurangkan subsidi dan sebagainya untuk menguruskan ekonomi, tetapi oleh kerana rayuan dan sebagainya, kita perlu juga ambil kira rayuan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu merupakan satu bentuk kompromi antara keperluan menguruskan ekonomi dan usaha mengurangkan beban rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 pada Rabu berkata kerajaan bersetuju memperluas kemudahan pemindahan kelayakan BUDI Diesel kepada mana-mana pengguna sebenar kenderaan diesel persendirian yang layak, berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum ini, pemindahan kelayakan hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat.

Di bawah ketetapan baharu, pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian turut boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada jumlah kenderaan yang dimiliki dan syarat ditetapkan. – TVS

Read Entire Article