KPDN perketat penguatkuasaan sektor nelayan

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 17 Sept: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) termasuk dalam sektor nelayan bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada golongan disasarkan.

Timbalan menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pemantauan berterusan penting bagi membanteras ketirisan, penyalahgunaan dan penyelewengan barang kawalan serta bersubsidi.

Menurutnya, kerjasama rentas agensi termasuk dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan diperkukuh bagi memastikan mekanisme pengagihan diesel bersubsidi kepada nelayan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“KPDN juga akan meneruskan pemantauan barang kawalan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) termasuk sektor nelayan bagi memastikan subsidi yang diperuntukkan kerajaan memberi manfaat kepada rakyat dan sektor disasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau proses penjualan dan pengagihan diesel bersubsidi kepada nelayan di Pusat Jualan Diesel (PJD), Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako, di sini, hari ini.

Fuziah menjelaskan, perkongsian maklumat dengan LKIM termasuk data aktiviti nelayan serta sistem seperti e-Pendaratan dapat membantu KPDN mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai penggunaan diesel bersubsidi.

Tambahnya, maklumat tepat dan dikemas kini secara masa nyata membolehkan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan, selain membantu mengenal pasti risiko ketirisan pada peringkat awal.

“Kerjasama antara agensi amat penting kerana penguatkuasaan yang berkesan memerlukan sokongan maklumat yang tepat. Dengan perkongsian data yang lebih lengkap, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun,” ujarnya.

Sementara itu, berdasarkan rekod dari 2024 hingga 16 September 2026, sebanyak 10 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara direkodkan, dengan nilai rampasan keseluruhan RM6.44 juta.

Kesemua kes berkenaan telah diselesaikan di mahkamah dengan jumlah denda RM1.726 juta.

Dalam pada itu, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di seluruh negara dari 16 Mac hingga 15 September tahun ini merekodkan 112,688 pemeriksaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,366 kes direkodkan melibatkan nilai rampasan barang kawalan RM11.88 juta, manakala nilai rampasan keseluruhan mencecah RM48.19 juta.

Bagi diesel, KPDN merekodkan 525 kes di seluruh negara melibatkan rampasan 2.53 juta liter diesel bernilai RM9.95 juta.

Bagi petrol pula, sebanyak 280 kes direkodkan dengan jumlah rampasan 134,084 liter bernilai RM477,232.11.

“Di Sarawak, sebanyak 196 kes direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM14.09 juta.

“Daripada jumlah itu, 169 kes membabitkan rampasan diesel kira-kira 1.40 juta liter bernilai RM5.06 juta, manakala tujuh kes rampasan petrol melibatkan 7,050 liter bernilai RM24,492.10,” jelas Fuziah.-TVS

Read Entire Article