MyMinyak, e-Nelayan bendung ketirisan subsidi

1 hour ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 17 Sept: Sistem MyMinyak dan e-Nelayan memainkan peranan penting dalam memastikan subsidi bahan api untuk nelayan disalurkan kepada golongan layak, selain mengurangkan risiko penyalahgunaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, prosedur ketat berkenaan dilaksanakan menerusi Ops Tiris 3.0 Bersepadu bagi membendung salah guna serta ketirisan subsidi bahan api yang disediakan kerajaan untuk nelayan.

“Pertama, melibatkan kuota, tidak boleh melebihi kuota satu-satu bot. Kemudian, aplikasi itu digunakan untuk periksa berapa banyak kuota yang keluar untuk satu bulan. Ada pengecaman wajah juga, untuk memastikan mereka yang layak sahaja boleh membeli bahan api yang diperuntukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mengadakan lawatan kerja di Pusat Jualan Diesel (PJD), Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di Pelabuhan Tanjung Bako, di sini, hari ini.

Menurut Fuziah, kuota bahan api ditetapkan berdasarkan kapasiti enjin bot, dengan jumlah maksimum antara 500 hingga 17,000 liter sebulan bergantung kepada kapasiti enjin.

“Kuota itu akan diberikan berdasarkan kepada permohonan. Dua-dua (diesel dan petrol). LKIM yang akan tentukan, tapi kami memastikan kalau ketirisan itu di bawah Akta Kawalan Bekalan,” ujarnya.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai 17 PJD termasuk di Tanjung Bako yang melaksanakan prosedur ketat bagi memastikan subsidi kerajaan dimanfaatkan dengan sewajarnya.

Menurutnya, bahan api juga disalurkan terus ke dalam vesel tanpa menggunakan kontena atau bekas perantara bagi mengurangkan risiko ketirisan sepanjang rantaian bekalan.

“Prosedur yang amat ketat, untuk memastikan bahawa subsidi kerajaan yang kerajaan berikan itu sampai betul-betul digunakan dengan secara yang paling baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, KPDN akan menjalankan siasatan sekiranya menerima maklumat daripada orang awam atau pemberi maklumat berhubung sebarang ketirisan bahan api melibatkan nelayan.-TVS

Read Entire Article