Ibu bapa perlu tegas halang anak bawah umur memandu

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 17 Sept: Ibu bapa perlu lebih tegas dalam memastikan anak yang belum mencapai umur kelayakan tidak memandu atau menggunakan kenderaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, pencegahan perlu bermula di rumah kerana ibu bapa paling hampir dengan anak-anak, selain bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.

“Sebagai kementerian yang menjaga kekeluargaan, saya harapkan pihak ibu bapa untuk lebih berhati-hati.

“Kita tahu mereka berhati-hati, tetapi perlu lebih berhati-hati mencari jalan yang terbaik untuk memastikan anak-anak yang belum mencapai umur yang boleh memandu kereta atau motor harus dihalang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes remaja lelaki berusia 14 tahun yang terlibat dalam kemalangan selepas memandu kenderaan, baru-baru ini. Beliau ditemui pada satu majlis di Santubong, dekat sini, hari ini.

Nancy berkata, ibu bapa juga perlu berbincang secara terbuka dengan anak mengenai bahaya dan implikasi memandu sebelum mencapai umur yang dibenarkan.

“Kita perlu bercakap dengan anak-anak kita. Mesti ada kesan. Kalau sesuatu kita lakukan, mesti ada kesan. Apakah kesan yang perlu kita beritahu kepada anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memastikan kenderaan tidak boleh diambil atau digunakan sewenang-wenangnya oleh anak yang masih bawah umur.

Bagaimanapun, Nancy berkata, pihaknya perlu menunggu laporan polis dan hasil siasatan sebelum menentukan sama ada wujud unsur kecuaian atau perkara lain yang boleh membawa kepada tindakan terhadap ibu bapa.

“Setiap kes ada berbeza keadaannya. Jadi kita nak tahu bagaimana kes itu berlaku. Kita tidak boleh melangkaui apa yang polis boleh lakukan secara khusus,” katanya.

Katanya, sekiranya terdapat unsur pengabaian yang dapat dibuktikan, tindakan sewajarnya boleh dipertimbangkan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.

Semalam, media melaporkan remaja lelaki berusia 14 tahun memandu sebuah kereta dan terbabit dalam kemalangan di dua lokasi berbeza.

Read Entire Article