ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar memperingati sebuah tarikh dalam kalendar, sebaliknya mengingatkan rakyat mengenai pentingnya perpaduan, saling menghormati dan hidup bersama dalam kepelbagaian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, berkata Sarawak terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang, namun perbezaan itu tidak seharusnya menjadi punca perpecahan.
“Dalam kepelbagaian, kita bersatu. Dalam perbezaan, kita saling menghormati,” katanya berucap pada Program Sejambak Kasih, iaitu penyampaian bakul makanan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 kepada penduduk di kawasan DUN Kota Sentosa di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun pemberian bakul makanan kelihatan sederhana, nilai sebenar program berkenaan bukan terletak pada barangan yang disampaikan, tetapi pada keprihatinan dan kasih sayang sesama anggota masyarakat.
“Kita mahu memastikan tiada seorang pun dalam komuniti kita berasa tersisih atau dilupakan,” katanya.
Beliau berkata, semangat keterangkuman yang diamalkan di Sarawak turut memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dapat dirasai semua tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Sebagai wakil rakyat, katanya, tanggungjawabnya bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal seperti jalan raya, longkang dan kemudahan awam, tetapi turut merangkumi usaha mendengar suara rakyat serta memahami keperluan masyarakat.
“Saya percaya sebuah komuniti yang kuat bukan hanya diukur melalui pembangunan, tetapi juga melalui cara kita menjaga antara satu sama lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya terus mempertahankan keharmonian yang dinikmati di Sarawak dan tidak membiarkan perbezaan menjadi punca perpecahan.
Sebaliknya, katanya, kepelbagaian perlu dijadikan kekuatan bersama dalam usaha membina Sarawak dan Malaysia yang lebih aman, stabil, inklusif dan makmur.

50 minutes ago
4








English (US) ·