Kerajaan Sarawak dan Persekutuan tentukan formula perkongsian hasil

50 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

KUCHING, 16 Sept: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan menentukan satu formula perkongsian hasil sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau menghargai persetujuan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu, yang disentuhnya bersama beberapa perkembangan berkaitan hak dan kepentingan Sarawak.

“Bagi pihak Kerajaan Sarawak, saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan yang bersetuju untuk menentukan suatu formula bagi perkongsian hasil antara kerajaan pusat dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.

Pada masa sama, Abang Johari turut menghargai persetujuan kerajaan pusat untuk meletakkan bidang pelancongan dalam Senarai Bersama di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang menurutnya mampu memperkukuh kerjasama antara kedua-dua peringkat kerajaan.

“Langkah ini akan membuka ruang untuk kolaborasi dan kerjasama yang lebih kukuh antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak untuk memajukan bidang pelancongan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap perkembangan berkenaan akan memperkukuh kefahaman bahawa pengiktirafan hak serta keistimewaan Sabah dan Sarawak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda nasional, seiring usaha memastikan pembangunan semua wilayah dilaksanakan secara lebih menyeluruh. – TVS

Read Entire Article