ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyambut baik persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menetapkan nisbah perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah kepada tidak kurang daripada satu pertiga.
Beliau berkata, persetujuan itu selaras dengan perkara yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), selain menjadi antara perkembangan penting dalam usaha memperkasakan MA63 sebagai komitmen nasional.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menyatakan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menetapkan ratio perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah kepada tidak kurang daripada satu pertiga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Menurut Abang Johari, pendekatan Kerajaan Persekutuan yang mengambil kira potensi Sarawak dan Sabah dalam merancang pembangunan negara secara lebih seimbang turut dialu-alukan.
“Saya amat berharap komitmen seperti ini akan membawa kepada kefahaman bahawa pengiktirafan hak-hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada agenda nasional,” ujarnya.

1 hour ago
6








English (US) ·