Kuching City bertekad beri aksi terbaik pada penampilan sulung ACL2

51 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

PHNOM PENH, 16 Sept: Kuching City FC bertekad memberikan aksi terbaik pada penampilan sulungnya dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) apabila berdepan Phnom Penh Crown FC di Stadium Nasional Morodok Techo, esok.

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, berkata perlawanan pembukaan itu penting bagi kedua-dua pasukan kerana menjadi permulaan kempen masing-masing dalam saingan peringkat kumpulan.

Katanya, Kuching City FC menjangkakan perlawanan kompetitif dengan kedua-dua pasukan akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk menghasilkan aksi menarik.

“Perlawanan ini sangat penting untuk kedua-dua pasukan kerana ia adalah permulaan ACL2. Sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang menarik dengan kedua-dua pasukan memberikan 100 peratus,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Aidil berkata, Phnom Penh Crown memiliki beberapa pemain berkualiti yang perlu diberi perhatian, khususnya pemain nombor 10, Moses Dyer, selain pemain nombor 14 yang mempunyai kelebihan kaki kiri dalam situasi bola mati.

Bagaimanapun, beliau berkata, fokus utama Kuching City FC adalah terhadap pelan permainan dan persembahan pasukannya sendiri ketika berdepan wakil Kemboja itu.

Menurutnya, perkembangan bola sepak Kemboja juga semakin ketara sejak beliau berdepan Phnom Penh Crown dalam saingan Piala AFC pada 2017.

Katanya, peningkatan itu dapat dilihat menerusi kualiti pemain, termasuk kehadiran pemain asing yang dibawa masuk bagi memperkuatkan saingan liga tempatan.

“Liga bola sepak Kemboja semakin baik sejak ketika kami berdepan mereka. Kini mereka mempunyai lebih ramai pemain berkualiti, terutama pemain asing yang dibawa masuk ke liga,” katanya.

Sementara itu, pemain Kuching City FC, Gabriel Nistelrooy, berkata pasukannya teruja untuk membuat penampilan pertama dalam saingan ACL2 dan bertekad memberikan aksi terbaik.

Katanya, Kuching City FC menyedari kekuatan Phnom Penh Crown, namun pemain akan mengekalkan disiplin serta berpegang kepada perancangan pasukan sepanjang perlawanan.

“Kami tahu Phnom Penh mempunyai pasukan dan pemain yang bagus, termasuk pemain nombor 14. Namun, kami akan kekal dengan perancangan dan disiplin pasukan serta memberikan 100 peratus dalam perlawanan,” katanya.

Read Entire Article