ADVERTISE HERE
BAU, 16 Sept: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan lima projek pembinaan baharu dan naik taraf tamu desa di kawasan Parlimen Mas Gading.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, peruntukan itu bertujuan memperluas peluang perniagaan serta merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.
“Bagi tempoh 2024 hingga 2026, KUSKOP merancang dan membangunkan hampir 200 projek tamu desa di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan melebihi RM40 juta termasuk 61 projek di Sarawak yang telah dilaksanakan dengan peruntukan lebih RM13 juta.
“Pada hari ini, KUSKOP turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pembangunan yang akan dilaksanakan oleh UDA Holdings Berhad dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak serta Pejabat Ahli Parlimen Mas Gading,” katanya pada sidang media selepas Lawatan Rasmi Tapak Tamu Desa di Parlimen Mas Gading di sini, Rabu.
Menurutnya, lima projek itu dikenal pasti berdasarkan keperluan setempat melibatkan pembinaan baharu Pasar Tamu Tembawang Sauh dan Gerai Jualan Kampung Grogo serta kerja naik taraf Pasar Tani Jagoi, Duyoh dan Stenggang.
Bagi tahun ini, KUSKOP sedang melaksanakan 22 projek tamu desa di Sarawak, termasuk satu projek di bawah Rancangan Boleh Pinda Pertama (RP1) 2026, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Pelaksanaan projek berkenaan dikendalikan UDA Holdings Berhad dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta PBT bagi memastikan pembangunan memenuhi keperluan masyarakat setempat.-TVS

1 hour ago
7








English (US) ·