ADVERTISE HERE
KOTA SAMARAHAN, 18 Sept: Tiga mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan IC Design Competition 2025 (ICDC25) menerusi inovasi reka bentuk Low Power Operational Amplifier (OpAmp).
Pasukan mahasiswa Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan UNIMAS itu terdiri daripada Martin Kennedy Wan Alexander Taylor, Mohamad Iszuanessrol Nasir dan Emmanuel Jawin Jerry Tanny.
Reka bentuk berkenaan kemudiannya diaplikasikan dalam prototaip Arduino Based Temperature Monitoring System, sekali gus membuktikan keupayaan mahasiswa menghasilkan reka bentuk cip untuk aplikasi dunia sebenar.
Menurut kenyataan UNIMAS, kejayaan pasukan itu turut disokong bimbingan berterusan pensyarah pembimbing merangkap penasihat pasukan, Dr Dayang Nur Salmi Dharmiza Awang Salleh.
“Projek itu dibangunkan selama setahun dua bulan meliputi keseluruhan proses pembangunan litar bersepadu, bermula daripada reka bentuk litar Op-Amp, reka bentuk susun atur atau layout design, proses tape out sehingga packaging cip.
“Usaha berkenaan membuahkan hasil apabila cip sebenar berjaya dihasilkan dan seterusnya diaplikasikan sepenuhnya dalam sistem prototaip yang dibangunkan,” kata kenyataan itu.
Pencapaian berkenaan membuktikan keupayaan mahasiswa UNIMAS dalam bidang reka bentuk litar bersepadu, khususnya menghasilkan litar berkuasa rendah yang dapat diterjemahkan daripada peringkat cip kepada aplikasi sebenar.
Sebagai Juara Keseluruhan ICDC25 anjuran SMD Sarawak Sdn Bhd, pasukan UNIMAS membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi kemenangan.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. -TVS

3 hours ago
9








English (US) ·