ADVERTISE HERE
SIBU, 18 Sept: Sebanyak lima kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Luxury di Jalan Wong King Huo, di sini semalam.
Operasi bersepadu itu membabitkan JPJ Sibu bersama anggota SP Stapang, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sibu serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sibu.
Ketua Cawangan JPJ Sibu, Jelapin Entalai mengetuai operasi yang menyaksikan sebanyak 455 kenderaan diperiksa.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai tali pinggang keledar, penggunaan lampu HID/LED, lesen memandu tamat tempoh dan tidak mempamerkan pelekat ‘P’, selain kesalahan teknikal kenderaan.
“Lima kenderaan disita atas beberapa kesalahan termasuk berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang tamat tempoh.
“Kenderaan yang disita terdiri daripada sebuah kenderaan mewah, dua motokar dan sebuah motosikal, manakala sebuah lagi motokar disita kerana dipandu pemandu warga asing yang tidak memiliki lesen memandu sah,” kata kenyataan itu.
JPJ Sarawak berkata, semua tindakan penguatkuasaan dan penyitaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Kerjasama antara agensi berkenaan akan diteruskan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, selain memastikan pematuhan undang-undang dan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan. -TVS

1 hour ago
3








English (US) ·