ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Pelabuhan Bintulu kini rasmi di bawah pentadbiran Kerajaan Sarawak berkuat kuasa 1 September 2026 selepas proses pengambilalihan daripada Kerajaan Persekutuan selesai.
Penyerahan dokumen rasmi Pelabuhan Bintulu oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Bilik Orang Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, hari ini.
Majlis itu disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Malaysia ke-63.
Menurut kenyataan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), pengambilalihan itu membabitkan pampasan RM1.8 bilion yang dibayar Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.
Dengan berkuat kuasanya Akta Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 [Akta 858] dan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 [Akta 859], status Pelabuhan Bintulu berubah daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.
Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) turut dibubarkan, manakala fungsi sebagai pihak berkuasa pelabuhan kini diambil alih Bintulu Port Authority (Sarawak), sebuah badan berkanun negeri yang ditubuhkan pada 1 September 2024.
Pemindahan itu turut meliputi semua harta, hak, kepentingan dan obligasi LPB kepada Kerajaan Sarawak.
Cadangan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu diumumkan Premier Sarawak pada Januari 2023 sebelum persetujuan Kerajaan Persekutuan diumumkan Perdana Menteri pada Oktober tahun sama.
Pelabuhan Bintulu merupakan antara infrastruktur strategik Sarawak, khususnya dalam menyokong aktiviti perindustrian dan eksport gas asli cecair (LNG).

59 minutes ago
5








English (US) ·