Rencah kepelbagaian, Keretapi Sarong satukan anak Malaysia

53 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR, 16 Sept: Rakyat Malaysia membanjiri KL Sentral hari ini dengan pelbagai busana tradisional, sarong berwarna-warni dan pakaian bertemakan budaya masing-masing sempena sambutan Hari Malaysia ke-63 menerusi Keretapi Sarong.

Memasuki edisi ke-10, penganjuran itu menampilkan warna-warni budaya dan identiti rakyat Malaysia dalam suasana penuh kemeriahan.

Bagi mahasiswa dari Sarawak, Dila Hani, penyertaan dalam Keretapi Sarong memberi peluang kepada golongan muda dari Borneo untuk turut meraikan Hari Malaysia bersama masyarakat di Semenanjung Malaysia.

Dila Hani memberitahu, dia hadir bersama rakan-rakan pelbagai kaum dari Sarawak dengan mengetengahkan kepelbagaian budaya termasuk identiti masyarakat Iban dan Bidayuh.

“Sebab bukan selalu orang Borneo datang ke sini dan memandangkan sudah berada di sini, kami mengambil peluang untuk menyambut Hari Malaysia di sini menerusi acara ini,” katanya kepada TVS.

Sementara itu, wakil komuniti Baba Nyonya, Cho Cheng Lan berkata sambutan tahun ini cukup istimewa susulan pengiktirafan keturunan Baba Nyonya oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang membolehkan status berkenaan didaftarkan dalam dokumen pengenalan diri.

Katanya, perkembangan itu memberi ruang kepada komuniti Baba Nyonya untuk menampilkan identiti mereka, selain berinteraksi dan meraikan sambutan bersama komuniti lain.

“Kami juga (akan membuat persembahan) bermain ukulele dan menyanyi, untuk seronok semua komuniti dan solidarity buat komuniti (rakyat Malaysia) nikmati kepelbagaian,” katanya.

Kemeriahan Keretapi Sarong turut menyaksikan peserta mengetengahkan pelbagai busana tradisional, termasuk pakaian Melayu lengkap yang jarang digayakan dalam kehidupan seharian.

Pengunjung, Muhammad Nor Faezuwan berkata pemakaian songket lengkap bersama tanjak dan samping pada acara itu bertujuan menampilkan busana tradisional Melayu secara lebih menyeluruh kepada masyarakat.

“Apa yang kita cuba sampaikan hari ini adalah pakaian songket secara full seperti mana yang selalu kita nampak dekat kenduri, majlis kahwin. Jadi kita pakai secara yang betul, pakaian tanjak yang betul dan samping semua.

“Jadi tarikan bukan dalam negara saja, orang luar negara pun nampak budaya kita dengan songket,” katanya.

Bagi Maizatul Akma pula, penyertaannya buat kali ketiga tahun ini tidak dilepaskan begitu sahaja apabila dia bersama anak-anak tampil mengenakan busana songket dengan warna Jalur Gemilang.

Dalam pada itu, pengunjung, Farhanah Yeow berkata suasana masyarakat daripada pelbagai kaum berkumpul, berinteraksi dan menikmati sambutan bersama memberikan pengalaman istimewa, lebih-lebih lagi dengan latar belakang keluarganya yang mempunyai campuran Melayu dan Cina.

“Saya rasa gembira tengok rakyat Malaysia berkumpul, berkawan, berbual dan menari bersama – sama,” katanya.

Kepelbagaian budaya yang ditampilkan turut menarik perhatian pelancong asing yang hadir menyaksikan sambutan berkenaan.

Pelancong dari Amerika Syarikat, Sulaiman Shaban berkata beliau kagum melihat pelbagai jenis pakaian dan budaya dihimpunkan dalam satu lokasi, selain teruja dengan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

“Suasana hari ini sungguh indah. Saya melihat pelbagai jenis pakaian dari serata tempat. Ia benar-benar indah. Saya tidak menyangka terdapat begitu banyak kepelbagaian di negara yang kecil ini. Ia sungguh indah. Saya sangat kagum.

“Memakai pakaian tradisional serta menghargai budaya, asal usul, dan tradisi sendiri adalah sesuatu yang sangat indah. Bagi para pelancong pula, hormatilah budaya Malaysia dan peka terhadap adab serta tata tertib masyarakat Malaysia,” ujarnya lagi. -TVS

Read Entire Article