ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Sarawak merekodkan nilai pelaburan melebihi RM116 bilion daripada pelaburan domestik dan asing (DDI dan FDI) dalam tempoh lima tahun sejak 2020.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pencapaian itu mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap Sarawak selain perkembangan ekonomi negeri yang semakin kukuh.
Beliau berkata kemajuan Sarawak perlu diteruskan dengan memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat, termasuk dari aspek pendidikan, peluang pekerjaan dan peluang ekonomi.
“Makna sebenar pembangunan ialah apabila kita mempunyai masa depan yang lebih baik, pendidikan yang berkualiti, peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan, peluang ekonomi yang meluas,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2026.
Menurutnya, pembangunan turut perlu memastikan keluarga di kawasan bandar dan luar bandar menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Awang Tengah berkata dalam meraikan Hari Malaysia, rakyat juga perlu terus memahami dan menghormati asas pembentukan Malaysia termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Katanya, kedua-dua dokumen itu bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya mencerminkan persefahaman, jaminan dan semangat yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Menghormati MA63 dan Laporan IGC bermakna menghormati semangat Malaysia itu sendiri iaitu Persekutuan yang dibina atas kepercayaan, saling menghormati, serta pengiktirafan terhadap hak dan kepentingan semua,” katanya.
Beliau berkata Sarawak kini sedang menuju pembangunan sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi tanpa mengetepikan identiti serta keharmonian masyarakat.
“Kekuatan Malaysia terletak pada kekuatan wilayah dan negeri-negeri yang membentuknya. Apabila Sarawak maju, Malaysia turut maju. Apabila Sarawak makmur, Malaysia menjadi lebih kukuh,” katanya.

1 hour ago
8








English (US) ·