Pelajar luar bandar perlu manfaat peluang pendidikan tinggi Sarawak yang semakin luas

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

SIBU, 18 Sept: Pelajar luar bandar perlu memanfaatkan peluang pendidikan tinggi yang semakin luas di Sarawak dan tidak menganggap diri mereka lebih rendah berbanding pelajar di bandar, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata, pelajar luar bandar kini mempunyai peluang yang sama untuk mencapai keputusan akademik yang baik, sekali gus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, pendedahan kepada persekitaran dan pengalaman baharu juga penting bagi membantu pelajar luar bandar memahami bahawa terdapat banyak peluang pendidikan serta kerjaya yang boleh diterokai.

“Dunia ini besar dan mempunyai banyak peluang. Lebih penting, saya mahu pelajar-pelajar luar bandar ini dapat bersaing dengan pelajar-pelajar di bandar. Saya boleh beri jaminan, bukan kerana anda dari luar bandar, anda tidak boleh mencapai prestasi yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Kecemerlangan SPM 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Balingian di sini, hari ini.

Katanya lagi, sikap yakin terhadap kemampuan diri amat penting kerana seseorang yang sentiasa menganggap dirinya lebih rendah berbanding orang lain akan sukar untuk berkembang.

“Jangan sekali-sekali merasakan diri ini rendah berbanding dengan pelajar-pelajar lain di bandar. Kalau anda selalu fikir bahawa anda rendah, anda tidak akan naik,” tambahnya.

Berkongsi pengalaman peribadinya, Dr Annuar berkata beliau pernah berdepan cabaran ketika melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, termasuk pandangan bahawa pelajar Bumiputera mungkin sukar mencapai tahap tertentu dalam bidang berkenaan.

Namun, katanya, beliau memilih untuk terus belajar dan berusaha membuktikan bahawa latar belakang bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.

Beliau memberitahu, pengalaman itu mengajarnya supaya tidak mudah menerima anggapan bahawa sesuatu perkara tidak mampu dicapai hanya kerana latar belakang seseorang.

Dalam pada itu, Dr Annuar berkata pelajar kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk meneruskan pengajian selepas SPM, termasuk melalui program matrikulasi, asasi serta institusi pengajian tinggi di Sarawak.

Katanya, antara pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah Universiti Teknologi Sarawak (UTS), selain institusi pengajian tinggi lain yang menawarkan pelbagai laluan pengajian selepas SPM.

Beliau berkata, pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang menawarkan 64 kursus turut membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian.

“Dengan bantuan kerajaan hari ini, tidak sepatutnya ada yang mengatakan mereka tidak dapat meneruskan pengajian disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kira-kira 160 orang pelajar yang mengikuti bengkel berkenaan supaya terus berusaha menghadapi SPM dan tidak menganggap usia 17 tahun sebagai titik akhir dalam pendidikan.

“Para pelajar masih mempunyai 65 hari sebelum peperiksaan SPM dan tempoh itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan pencapaian akademik. Anda masih mampu mengubah keputusan daripada gred C kepada A dengan latihan berterusan serta bimbingan guru. Saya sangat yakin bahawa anda boleh melakukannya,” katanya.

Read Entire Article