Pemilihan atlet mewakili Sukan SEA 2027 perlu berdasarkan merit

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 18 Sept: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemilihan atlet yang bakal mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2027 perlu dibuat berdasarkan merit dan diserahkan kepada persatuan sukan berkaitan.

Beliau berkata, walaupun dijangka terdapat atlet dari Sarawak yang akan mewakili negara pada temasya berkenaan, pihaknya tidak mahu meletakkan tuntutan supaya semua wakil Malaysia terdiri daripada atlet dari Sarawak.

“Saya percaya kita masih belum memuktamadkan siapa yang akan mewakili Malaysia. Sudah tentu akan ada atlet dari Sarawak, tetapi kita tidak boleh meminta terlalu banyak supaya mereka yang mewakili Malaysia mesti datang dari Sarawak.

“Pemilihan itu perlu diuruskan oleh persatuan sukan berdasarkan merit,” katanya pada Majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di sini, malam ini.

Menurut beliau, atlet Sarawak yang berpeluang beraksi di laman sendiri sudah pasti akan mendapat sokongan lebih besar daripada keluarga, rakan-rakan dan penyokong tempatan.

Bagaimanapun, Abdul Karim berharap rakyat Sarawak yang hadir ke venue pertandingan tidak hanya memberikan sokongan kepada atlet negeri itu, sebaliknya turut menyokong semua atlet yang mewakili Malaysia.

“Kita perlu menyokong semua atlet Malaysia. Kita mahu melihat Malaysia muncul sebagai juara, dan jika boleh, menjadi juara keseluruhan pada Sukan SEA kali ini,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sokongan padu rakyat Sarawak sebagai antara faktor penting dalam menyemarakkan suasana pertandingan apabila Sarawak menjadi salah satu kelompok penganjuran Sukan SEA 2027.- TVS

Read Entire Article