ADVERTISE HERE
KUCHING, 18 Sept: Sarawak tidak akan menyediakan konsep perkampungan sukan bagi kontinjen yang menyertai Sukan SEA 2027, sebaliknya atlet dari 11 negara Asia Tenggara akan ditempatkan di hotel-hotel yang telah dikenal pasti bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang temasya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan itu berbeza dengan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) yang menggunakan konsep perkampungan sukan untuk menempatkan atlet.
“Untuk Sukan SEA yang melibatkan atlet-atlet nasional dari setiap negara, kita tidak menggunakan sistem Perkampungan Sukan, tetapi akan mengadakan hotel-hotel tertentu untuk menempatkan atlet.
“Kita tahu kalau di perkampungan sukan di universiti, tidak ada penghawa dingin dan sebagainya. Sebab itu kita tukarkan supaya semua atlet yang datang daripada 11 negara yang terlibat akan tinggal dengan selesa di hotel-hotel yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di sini, malam ini.
Menurut Abdul Karim, kapasiti hotel di Sarawak dijangka mencukupi untuk menampung lebih 4,000 atlet yang dijangka mengambil bahagian, selain pegawai dan anggota kontinjen.
“Untuk jumlah macam itu, hotel kita memadai dan mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, Kompleks Sukan Sarawak bukan sahaja akan menjadi tumpuan aktiviti sukan, malah bakal dihidupkan dengan konsep seperti sebuah festival.
Katanya, selain venue pertandingan, kawasan berkenaan akan menampilkan kemudahan seperti dapur Malaysia serta ruang jualan bagi membolehkan usahawan tempatan mempromosikan produk dan barangan mereka.
“Kita mahu ia menjadi sangat meriah, bukan sahaja untuk sukan tetapi juga untuk usahawan yang dapat mempamerkan, menjual produk dan barangan mereka,” katanya.
Mengenai persiapan venue, Abdul Karim berkata hampir kesemua daripada 11 venue yang menjalani kerja-kerja naik taraf kini berada dalam persediaan yang baik, termasuk Stadium Sarawak yang akan menjadi lokasi upacara perasmian.
“Saya diberi taklimat mengenai persiapan venue. Daripada 11 venue yang dibuat naik taraf, hampir semuanya, termasuk stadium utama, Stadium Sarawak, di mana perasmiannya akan dibuat,” katanya.
Selain kerja-kerja menaik taraf kemudahan sukan, katanya, pembinaan *International Broadcasting Centre (IBC)* di sebelah bangunan Baitulmakmur juga sedang giat dilaksanakan.
Abdul Karim berkata, pusat berkenaan dijangka siap lebih awal sebelum temasya berlangsung dan akan memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat serta data mengenai pertandingan kepada negara-negara yang mengambil bahagian dan penonton di seluruh dunia.
“Kita agak fokus dalam perkara ini supaya data, maklumat dan sebagainya mudah disalurkan kepada negara-negara yang terlibat kerana mereka juga mahu melihat apa yang berlaku dari seminit ke seminit dan dari jam ke jam,” katanya.
Abdul Karim turut memberi jaminan bahawa kemudahan penterjemahan akan disediakan bagi membantu kontinjen dari negara-negara yang mungkin tidak memahami Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Katanya, pegawai perhubungan yang ditugaskan menjaga setiap kontinjen juga akan membantu memberi panduan sepanjang mereka berada di Sarawak. – TVS

1 hour ago
6








English (US) ·