ADVERTISE HERE
SIBU, 18 Sept: Pendidikan dan kemahiran menjadi antara kunci utama dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat Sarawak, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Beliau berkata pendidikan yang lebih tinggi dan kemahiran yang bersesuaian dapat membuka peluang pekerjaan serta membantu rakyat memperoleh pendapatan lebih baik, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah.
Ujarnya, pendekatan itu selari dengan sasaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk meningkatkan median pendapatan bulanan isi rumah Sarawak kepada RM15,000 menjelang 2030.
“Kerajaan Sarawak memberi pendidikan secara percuma kerana kita melabur untuk anak-anak Sarawak supaya mereka mendapat pendidikan yang lebih tinggi dan seterusnya mendapat pendapatan yang lebih tinggi.
“Itu hasrat kerajaan memberi pendidikan percuma ini, supaya anak-anak Sarawak mendapat pendidikan yang lebih tinggi dan seterusnya mendapat pendapatan yang lebih tinggi. Itu pelaburan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Serahan Program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan (Peralatan) ICU JPM Sarawak Sibu Tahun 2026 untuk penerima daripada Kolej Vokasional Sibu di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS), di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, pendekatan meningkatkan pendapatan turut perlu memberi tumpuan kepada golongan yang sudah mempunyai kemahiran supaya bantuan yang disalurkan dapat diterjemahkan kepada aktiviti menjana pendapatan.
Menurutnya, perkara itu penting kerana penerima program berkenaan terdiri daripada pelajar dan alumni KV Sibu yang telah mendapat latihan serta kemahiran dalam bidang tertentu.
“Program ini amat berfokus sebab pertama, ia memberi bantuan kepada golongan yang telah mendapat kemahiran ataupun latihan kemahiran.
“Mereka memang mempunyai kemahiran dalam bidang yang mereka pelajari di kolej vokasional dan selepas ini mereka diberi bantuan untuk memastikan kemahiran ini dapat diterjemahkan kepada impak dari segi pendapatan,” tambahnya.
Menurutnya, pendekatan sedemikian berpotensi memberi impak lebih besar berbanding pemberian bantuan secara umum kerana penerima sudah mempunyai asas kemahiran untuk dimanfaatkan.
Dalam pada itu, Dr Annuar mengingatkan penerima supaya tidak melihat bantuan berkenaan sebagai sesuatu yang perlu diterima secara berterusan, sebaliknya menjadikannya sebagai permulaan untuk membina sumber pendapatan sendiri.
“Bantuan ini boleh menjadi start-up untuk anda, tetapi kita faham mungkin kita tidak mempunyai cukup dana untuk memulakan perniagaan. Pastikan bantuan ini sebagai permulaan. Selepas itu, usaha-usaha lain harus terletak di tangan penerima sendiri. Mentaliti bantuan tidak harus berterusan,” tegas beliau.
Beliau turut mengaitkan usaha pembangunan pendidikan dan kemahiran dengan keperluan melahirkan tenaga kerja yang mampu memenuhi peluang ekonomi serta memperoleh pendapatan lebih tinggi.
Ujarnya, Kerajaan Sarawak sebelum ini turut menetapkan pembangunan pendidikan dan modal insan sebagai antara komponen penting PCDS 2030, termasuk usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran.
Sementara itu, program berkenaan menyaksikan 36 Ahli Isi Rumah (AIR) berstatus miskin yang berdaftar dalam sistem eKasih menerima bantuan peralatan secara one-off berjumlah keseluruhan RM180,000.
Penerima terdiri daripada pelajar dan alumni KV Sibu dalam bidang seperti peralatan elektrik, jahitan, bakeri dan pastri, kosmetologi serta elektronik.
Peruntukan RM180,000 itu merupakan sebahagian daripada peruntukan Fokus Peningkatan Pendapatan berjumlah RM1.375 juta yang dilaksanakan di seluruh Sarawak.

2 hours ago
6








English (US) ·