ADVERTISE HERE
KUCHING, 18 Sept: Polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM17.2 juta menerusi dua operasi berasingan di Kuching dan Limbang pada 11 dan 14 Sept lepas.
Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Mohamad Zainal Abdullah yang juga Pesuruhjaya Polis Sarawak berkata rampasan itu hasil operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Sarawak.
Beliau berkata dalam operasi pertama pada 11 Sept, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan di sebuah rumah di Kuching.
“Hasil serbuan itu, polis merampas 107.518 kilogram (kg) dadah terdiri daripada 50.1 kg serbuk MDMA, 32.3 kg ketamin, 25 kg cecair MDMA dan 0.118 kg pil Erimin 5.
“Dadah dirampas dianggarkan bernilai RM12.89 juta. Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai 2026 dan menggunakan sebuah rumah teres sebagai lokasi memproses, membungkus serta menyimpan dadah sebelum diedarkan di sekitar Kuching,” katanya.
Mohamad Zainal berkata ujian saringan air kencing suspek didapati positif methamphetamine/amphetamine, dan lelaki berkenaan direman tujuh hari bermula 12 hingga esok, bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam operasi kedua pada 14 Sept, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan di Jalan Mendamit, Limbang.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 84.07 kg dadah terdiri daripada 81.21 kg syabu, 2.06 kg ketamin dan 0.80 kg serbuk MDMA, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.3 juta.
“Sindiket itu dipercayai aktif sejak November 2025 dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk membawa bekalan dadah dari Miri ke Sabah melalui jalan darat. Suspek direman tujuh hari bermula 15 hingga 22 Sep bagi membantu siasatan,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

7 hours ago
9








English (US) ·