ADVERTISE HERE
BAU, 16 Sept: Lebih RM800 juta disalurkan kepada kira-kira 32,000 usahawan di Sarawak menerusi inisiatif Power Up 10K kendalian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM9.6 bilion yang disalurkan kepada 270,000 usahawan di seluruh negara dalam tempoh sama.
“Kerangka strategi KUSKOP tahun ini berteraskan ABCD iaitu anjakan produktiviti bagi membantu meningkatkan produktiviti perniagaan, birokrasi dikurangkan bagi mempercepat proses permohonan pinjaman dan geran, capaian modal bagi memastikan usahawan mendapat akses kepada modal yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan serta daya akses pasaran bagi membantu usahawan memasarkan produk ke pasaran lebih luas,” katanya pada sidang media selepas Lawatan Rasmi ke Tapak Tamu Desa di kawasan Parlimen Mas Gading, di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan antara usaha KUSKOP memperluas akses pembiayaan dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut membantu usahawan memasarkan produk bukan sahaja di Sarawak dan Malaysia, malah ke pasaran antarabangsa.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan usahawan, khususnya PMKS di kawasan luar bandar, mempunyai peluang mengembangkan perniagaan serta menikmati manfaat pembangunan ekonomi secara lebih menyeluruh,” ujarnya.-TVS

1 hour ago
8








English (US) ·