ADVERTISE HERE
KUCHING, 19 Sept : Kerajaan Sarawak berharap badan korporat dan syarikat swasta dapat memperluas pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ke kawasan luar bandar bagi memastikan masyarakat di wilayah berkenaan turut mendapat manfaat daripada sumbangan yang disediakan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata program CSR yang dilaksanakan sektor swasta di kawasan bandar terbukti banyak melengkapi usaha kerajaan dalam menyediakan sistem sokongan kepada golongan memerlukan, terutamanya keluarga muda.
“Bagi kami di luar bandar, kadang-kadang sukar untuk menikmati program CSR sebegini kerana memerlukan pengangkutan dan kos tambahan.
“Walaupun tidak mudah, kita berharap pihak penaja dan badan korporat dapat mempertimbangkan program CSR yang boleh memberi manfaat kepada rakyat serta pasangan muda di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program My Little Moments Community Care Program di sini hari ini, yang menyaksikan 100 keluarga dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong menerima bantuan kewangan RM300 beserta barangan keperluan dan susu bayi hasil sumbangan Farley Group of Companies dan pelbagai pihak swasta.
Fatimah berkata pelaksanaan program CSR secara bersama oleh syarikat swasta seperti Farley Group of Companies, Farm Fresh Milk dan Pigeon Malaysia merupakan contoh terbaik dalam membantu golongan sasaran serta melengkapi pelbagai inisiatif bantuan yang disediakan kerajaan negeri.
“Sumbangan yang digabungkan ini melengkapi antara satu sama lain.
“Apabila kita menggabungkan tenaga dan sumbangan, hasilnya tentulah lebih baik dan bermakna buat ibu bapa yang mempunyai anak kecil,” katanya.
Menurut beliau, sistem sokongan daripada pihak kerajaan dan swasta amat penting dalam memberi keyakinan kepada pasangan muda untuk membina keluarga, memandangkan kadar kesuburan bagi negeri Sarawak pada 2024 mencatatkan penurunan kepada 1.5 berbanding kadar penggantian ideal 2.1.
Justeru, Fatimah menegaskan Kerajaan Sarawak terus komited menyediakan pelbagai bantuan khusus dari peringkat kelahiran hingga pendidikan tinggi bagi meringankan beban kewangan keluarga.
Bantuan berkenaan merangkumi Bantuan Ibu Bersalin (BIB) sebanyak RM450, insentif Endowment Fund Sarawak (EFS) RM1,000 bagi setiap bayi baharu lahir berstatus K, subsidi yuran taska dan tadika swasta RM1,000 setahun, Geran Bantuan Khas Taska dan Tadika (BKWK) RM5,000 setahun kepada pengusaha, serta inisiatif pendidikan percuma di universiti milik kerajaan negeri bermula 2026.
“Setiap anak yang dilahirkan bukan sekadar menambah bilangan populasi, tetapi mereka adalah masa depan Sarawak yang bakal menjadi tenaga kerja, usahawan, golongan profesional dan pemimpin pada masa akan datang,” ujarnya lagi. – TVS

1 hour ago
4








English (US) ·