ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Sarawak meneroka peluang memperkukuh kerjasama strategik dengan Hong Kong dalam bidang pelaburan, semikonduktor, teknologi mendalam (deep technology) dan teknologi strategik lain.
Perkara itu susulan pertemuan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama SMD Semiconductor dan Gobi Partners di Kuching pada Selasa.
Abang Johari berkata, kerjasama berkenaan berpotensi menjadi asas kepada hubungan lebih kukuh dan jangka panjang antara Sarawak dan Hong Kong khususnya dalam sektor teknologi serantau.
“Kami melihat potensi untuk Sarawak dan Hong Kong membina kerjasama lebih kukuh dan berjangka panjang dalam bidang semikonduktor, teknologi mendalam serta teknologi strategik lain, selain mewujudkan peluang kepada kedua-dua pihak untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi teknologi serantau,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan SMD Semiconductor.
Menurut kenyataan itu, antara peluang kerjasama pelaburan yang dikenal pasti termasuk mendapatkan pelabur institusi, dana berdaulat dan rakan kongsi strategik.
Kerjasama itu juga meliputi usaha mendapatkan dan mengkomersialkan hak cipta atau harta intelek serta teknologi strategik.
Rakan Kongsi Pengurusan Gobi Partners Malaysia, Jamaludin Bujang berkata, Sarawak boleh memanfaatkan rangkaian luas firma pelaburan itu di pasaran Asia bagi mendapatkan akses kepada teknologi terkini yang sedang dibangunkan di rantau berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Wan Lizozman Wan Umar menyifatkan pertemuan itu sebagai usaha menghimpunkan dua ekosistem yang mempunyai kekuatan saling melengkapi.
Menurutnya, Hong Kong mempunyai kekuatan dalam aspek kewangan, modal dan inovasi, manakala Sarawak sedang membangunkan keupayaan dalam bidang semikonduktor, infrastruktur digital dan teknologi.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil pula berkata, syarikat itu akan memberi tumpuan mengenal pasti bidang yang membolehkan keupayaan syarikat dan rakan strategiknya saling melengkapi bagi mewujudkan peluang bernilai komersial dan strategik.
SMD Semiconductor ialah syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak melalui State Financial Secretary Incorporation (SFS Inc.) dan merupakan syarikat reka bentuk cip fabless yang memberi tumpuan kepada reka bentuk litar bersepadu analog dan isyarat campuran (mixed-signal integrated circuits).-TVS

54 minutes ago
5








English (US) ·