ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Ujian Percubaan Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP) menjadi antara usaha awal Kerajaan Sarawak dalam mengenal pasti bakat akademik bagi membangunkan modal insan berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, ujian berkenaan bukan sekadar menentukan kelayakan murid untuk memasuki Tingkatan Satu, malah menjadi instrumen penting dalam menilai tahap penguasaan akademik mereka.
Menurutnya, pencapaian cemerlang dalam ujian itu turut membuka peluang kepada murid untuk melanjutkan pendidikan di sekolah menengah antarabangsa milik Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS).
“Sama ada lulus atau gagal bukan perkara utama. Yang lebih penting ialah kita dapat mengenal pasti murid yang mencapai prestasi cemerlang dan mereka ini berpeluang ditawarkan untuk melanjutkan pendidikan di sekolah menengah antarabangsa milik Kerajaan Sarawak melalui YSISS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Ujian Percubaan Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, Kuching, hari ini.
Ibrahim menjelaskan, YSISS yang diwujudkan melalui visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
Dalam pada itu menurutnya, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi penting bagi menyokong peralihan Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan ekonomi digital.
Katanya, Sarawak kini meneroka pelbagai bidang baharu termasuk ekonomi digital, hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang STEM.
“Semua ini memerlukan modal insan yang mempunyai keupayaan intelektual dan kemahiran dalam bidang Sains dan Teknologi. Sebab itu Matematik sangat penting dan Bahasa Inggeris juga memainkan peranan kerana ia merupakan bahasa antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, inisiatif Ujian Percubaan Pra UP-DLP merupakan projek rintis bagi membantu sekolah-sekolah di kawasan Satok meningkatkan prestasi akademik murid.
Seramai 187 murid daripada tiga sekolah mengambil bahagian dalam ujian percubaan itu melibatkan 74 murid dari SK Merpati Jepang, 64 murid dari SK Rakyat Haki Bolhassan dan 49 murid dari SK Combined.-TVS

1 hour ago
4








English (US) ·