SOPPOA mahu cadangan henti pembakaran EFB dikaji

1 hour ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 16 Sept: Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) merayu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mempertimbangkan semula cadangan menghentikan operasi pembakaran tandan buah kosong (EFB) di kilang kelapa sawit di Sarawak.

Dalam surat terbuka kepada Menteri NRES, SOPPOA menyatakan pihak industri menyokong usaha kerajaan memelihara kualiti udara dan alam sekitar, namun pelaksanaan peraturan perlu mengambil kira kebolehlaksanaan teknikal, keadaan operasi tempatan serta ketersediaan teknologi yang terbukti dan berdaya maju secara komersial.

Menurut SOPPOA, pendekatan berasaskan sains diperlukan kerana teknologi kawalan pencemaran yang diuji industri masih berdepan masalah operasi ketika digunakan dalam proses pembakaran EFB.

“Teknologi seperti scrubber, penapis beg dan multi-cyclone telah diuji bagi mengurangkan pelepasan zarah serta asap, namun ciri pembakaran EFB menyebabkan zarah yang terhasil mudah menyumbat peralatan kawalan pencemaran,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

SOPPOA turut menjelaskan pembakaran EFB bagi menghasilkan abu tandan bukan sekadar proses pelupusan sisa, sebaliknya merupakan proses penukaran biojisim yang menghasilkan input pertanian untuk dikembalikan ke ladang kelapa sawit.

“Sarawak mempunyai kira-kira 1.66 juta hektar kawasan kelapa sawit, dengan sekitar 40 peratus dianggarkan ditanam di tanah gambut, sekali gus menjadikan abu tandan sebagai salah satu sumber kalium yang berguna untuk tanaman di tanah berasid.

“SOPPOA menganggarkan antara 70 hingga 80 unit pembakaran EFB kini beroperasi di Sarawak, dengan pelaburan modal sekitar RM35 juta hingga RM40 juta, tidak termasuk infrastruktur berkaitan, sistem kawalan pencemaran, pengubahsuaian dan kos operasi,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, SOPPOA mencadangkan sistem pembakaran EFB sedia ada dibenarkan terus beroperasi dengan kawalan alam sekitar yang bersesuaian.

Persatuan itu turut mencadangkan penubuhan pasukan petugas teknikal membabitkan NRES, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pihak industri.

Selain itu, SOPPOA mencadangkan pelan pengurangan pelepasan secara berperingkat serta penilaian menyeluruh terhadap kesan alam sekitar dan ekonomi sebelum sebarang pemberhentian sepenuhnya dilaksanakan.

Menurut persatuan itu, permintaan berkenaan bukan bertujuan mengelakkan pematuhan alam sekitar, sebaliknya mendapatkan laluan yang realistik bagi membolehkan industri mencapai tahap pematuhan menerusi penyelesaian yang kukuh dari segi sains, teknikal dan komersial.-TVS

Read Entire Article