ADVERTISE HERE
PUTRAJAYA, 18 Sept: Kontinjen Malaysia dijangka mempertaruhkan barisan atlet elit pada Sukan SEA 2027 dalam misi memburu sebanyak mungkin pingat emas, sekali gus merealisasikan sasaran muncul juara keseluruhan temasya itu yang akan berlangsung di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur pada 18-29 Sept tahun depan.
Chef de Mission (CDM) Malaysia bagi kluster Semenanjung Datuk Iruan Zulkefli berkata tiada pengecualian diberikan kepada atlet terbaik negara, termasuk mereka yang pernah meraih kejayaan di pentas Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik, sekiranya berpotensi menyumbang pingat.
Beliau berkata strategi itu akan digabungkan dengan penyertaan atlet muda berbakat bagi memberi pendedahan di pentas antarabangsa, sekali gus sebagai sebahagian persiapan jangka panjang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028) .
“Semua yang terbaik, yang boleh menang pingat akan beraksi. Tidak ada yang akan kata, mana yang dah juara di peringkat Sukan Asia ataupun dah pernah rangkul pingat di Sukan Olimpik kita tinggalkan, tidak.
“Tapi kalau boleh, persiapan Sukan SEA kali ini juga menjadi platform untuk mencari bakat dan juara baharu untuk kita mempersiapkan mereka menuju ke LA 2028,” katanya ketika ditemui media selepas majlis sambutan kiraan detik satu tahun menuju Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 2027.
Dalam pada itu, Iruan memberi bayangan Malaysia bakal membariskan kontinjen terbesar dengan 1,300 atlet mengambil bahagian di temasya dwitahunan itu.
Beliau berkata saiz kontinjen itu juga memberi peluang kepada Malaysia bukan sahaja memburu pingat emas menerusi atlet berpengalaman, malah mengetengahkan generasi pelapis untuk merasai sendiri suasana pertandingan di pentas Sukan SEA.
Mengenai sasaran pingat, beliau optimis Malaysia mampu mengulangi kejayaan muncul juara keseluruhan seperti edisi Kuala Lumpur 2017, namun jumlah sasaran emas masih belum ditetapkan.
“Saya rasa kita mampu untuk melakar rekod menjadi juara. Cuma jumlah pingat kita tak pasti kerana kita belum tetapkan dan akan umum pada waktu terdekat,” katanya. -TVS

1 hour ago
4








English (US) ·