Sukan SEA 2027 pemangkin fasa baharu pembangunan sukan Sarawak

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 18 Sept: Sukan SEA 2027 perlu dijadikan pemangkin kepada fasa baharu pembangunan sukan di Sarawak, bukan sekadar kejayaan menganjurkan temasya bertaraf antarabangsa.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran itu perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh ekosistem sukan negeri, termasuk pembangunan akar umbi, persiapan atlet, kejurulatihan, sains sukan serta kepakaran teknikal.

Menurutnya, temasya itu juga perlu menjadi sumber inspirasi kepada generasi baharu Sarawak untuk menceburi bidang sukan dan berani bersaing di peringkat tertinggi.

“Nilai sebenar penganjuran Sukan SEA bukan hanya diukur melalui apa yang berlaku sepanjang temasya berlangsung, tetapi juga melalui apa yang ditinggalkan selepas acara terakhir berakhir,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di sini, malam ini.

Sarawak akan menjadi salah satu daripada empat kluster tuan rumah bersama Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor bagi Sukan SEA ke-34 Malaysia 2027, yang berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027.

Abdul Karim berkata, peningkatan kemudahan sukan bagi menghadapi temasya itu merupakan pelaburan jangka panjang untuk memperkukuh kapasiti sukan Sarawak serta keupayaan menganjurkan kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang.

Katanya, kemudahan serta kepakaran yang dibangunkan perlu terus memberi manfaat kepada atlet, persatuan sukan dan masyarakat selepas temasya berakhir.

Pada masa sama, beliau berkata Sukan SEA 2027 turut membuka peluang untuk memperkenalkan Sarawak kepada pengunjung dari seluruh Asia Tenggara, selain merangsang sektor pelancongan, hospitaliti dan perniagaan tempatan.

“Apabila atlet, pegawai, penyokong dan pelawat datang ke Sarawak, kita mahu mereka bukan sahaja menikmati kemudahan sukan kita, tetapi turut merasai budaya, kepelbagaian, keramahan serta keunikan Sarawak.

“Pada masa sama, kita mahu mewujudkan peluang kepada perniagaan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan,” katanya.

Abdul Karim berkata, tempoh 12 bulan akan datang amat penting bagi memastikan segala perancangan diterjemahkan kepada persiapan dan tahap kesiapsiagaan sepenuhnya.

Beliau turut menekankan kerjasama semua pihak bagi memastikan Sukan SEA 2027 bukan sahaja berjaya dari segi penganjuran, tetapi turut meninggalkan legasi jangka panjang kepada Sarawak. -TVS

Read Entire Article