ADVERTISE HERE
SPAOH, 18 Sept: Ujian pendaratan penerbangan pertama di Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling di sini, hari ini, berjaya dilaksanakan, sekali gus menandakan siapnya pembinaan kemudahan berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata tumpuan seterusnya adalah menyediakan keperluan bagi membolehkan STOLport itu beroperasi.
Katanya, tarikh operasi penuh STOLport berkenaan belum ditetapkan dan akan diputuskan selepas perbincangan lanjut, termasuk berkaitan ketibaan penerbangan komersial.
“Boleh dikatakan lapangan terbang ini sudah siap. Pesawat tadi mendarat dengan selamat dan kami yang berada di Betong sangat gembira kerana ini juga mencerminkan usaha kerajaan Sarawak.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sudah berjanji untuk membina lapangan terbang di Bahagian Betong dan hari ini kita dapat melihat sendiri janji itu menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan ujian pendaratan penerbangan pertama di STOLport berkenaan, hari ini.
Uggah berkata, STOLport bernilai RM248 juta itu bakal mempunyai fungsi berganda, termasuk bagi operasi kargo selain menerima lebih banyak penerbangan, khususnya untuk menyokong sektor pelancongan.
Katanya, Bahagian Betong mempunyai pelbagai lokasi bersejarah dan produk pelancongan yang berpotensi diketengahkan sebagai tarikan kepada pelancong dari luar.
Beliau berkata, pembangunan projek berskala besar di kawasan berkenaan, termasuk taman agro serta pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan, turut dijangka melengkapkan ekosistem ekonomi di Zon Tengah Sarawak.
Uggah berkata, STOLport berkenaan turut dijangka menjadi pintu masuk utama ke kawasan pelancongan seperti Batang Ai, selain memendekkan masa perjalanan dari Kuching.
“Harapan kami ialah lapangan terbang ini menjadi pintu masuk orang ramai ke wilayah ini, termasuk ke Batang Ai.
“Kita dapat lihat bilangan pelancong semakin meningkat dan kami amat yakin dengan lapangan terbang ini yang akan membawa masuk lebih ramai orang kerana penerbangan tadi hanya 15 minit dari Kuching ke Bebuling, berbanding kira-kira tiga jam menggunakan kereta.
“Itu adalah insentif yang baik untuk pengusaha pelancongan membawa pelancong mereka ke lapangan terbang ini,” katanya. -TVS

3 hours ago
8








English (US) ·