Warga emas maut dilanggar MPV di Batu Kawa

1 hour ago 8
ADVERTISE HERE

KUCHING, 17 Sept: Seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Field Force, Batu Kawa, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.22 malam berhampiran simpang Lorong Field Force 3, mangsa dilaporkan sedang berjalan kaki di tengah jalan sebelum dilanggar kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, siasatan awal mendapati MPV berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dari arah Batu Kawa menuju ke Petra Jaya.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu yang bergerak lurus di lorong kiri dipercayai melanggar mangsa yang berada di lorong sama.

“Akibat perlanggaran, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 8.32 malam oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu kenderaan tidak mengalami kecederaan dan ditahan polis bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans kenderaan berkenaan masing-masing tamat tempoh pada 30 Oktober 2025.

“Kenderaan turut ditahan untuk pemeriksaan Puspakom, manakala polis sedang mengesan saksi serta meneliti rakaman kamera papan pemuka bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-TVS

Read Entire Article