ADVERTISE HERE
Oleh DayakDaily Team
KUCHING, 17 Julai: Orang ramai di sekitar Kapit digalakkan hadir ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi memastikan Banci Pertanian 2024 dapat dilaksana dengan lancar.
Pengarah DOSM Sarawak Dayang Rozana Abang Hassan berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penduduk yang terlibat dengan aktiviti pertanian dapat bertemu dengan kakitangan jabatan itu.
Katanya, ia bagi memudahkan penyelarasan dan pendaftaran Banci Pertanian 2024.
“Itu memang kita alu-alukan kalau ada sesiapa yang mahu datang ke pejabat DOSM terdekat ataupun boleh berhubung terus dengan kakitangan kami.
“Ia bagi membincangkan mengenai perancangan melawat kebun dan ladang mereka dalam menjayakan bancian ini,” ujarnya selepas mempengerusi Pemukiman Banci Pertanian Bahagian Kapit semalam, menurut satu kenyataan media.
Katanya, banci adalah penting kerana ia membolehkan DOSM mendapatkan data yang lebih inklusif dan berkualiti.
Ini terutamanya mengenai kemampuan pengeluaran sesuatu produk khusus di setiap bahagian dan daerah di Sarawak.
Dalam pada itu, Jabatan Penerangan Kapit turut mengambil inisiatif melakukan hebahan awam Banci Pertanian 2024 melalui program ‘Info on Wheels’ (IOW).
Selain itu, pengedarkan bahan penerbitan bersesuaian bagi meningkatkan kesedaran penduduk setempat mengenai kepentingan bancian turut dilakukan.
Bancian Pertanian 2024 ini merupakan sebagai penanda aras kepada kerajaan dalam mendapatkan gambaran sebenar tentang profail sektor pertanian selepas kali terakhir bancian sedemikan diadakan kira-kira 19 tahun lalu.
Antara aktiviti yang terlibat dalam bancian ini adalah pertanian, penternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan. — DayakDaily