ADVERTISE HERE
BETONG, 17 Sept: Sebanyak 7.5 daripada lapan hektar kawasan hutan yang terbakar di Stolport Bebuling, Spaoh berjaya dipadam setakat hari kelima operasi pemadaman hari ini.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong memaklumkan, operasi yang bermula pada 13 September lalu masih diteruskan bagi memadam baki kebakaran seluas 0.5 hektar.
Seramai sembilan anggota bomba digerakkan ke lokasi dengan kekuatan satu jentera FRWT, sebuah Hilux dan sebuah EMRS.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi pada sebelah pagi membabitkan Team 1 yang menjalankan pemadaman di bahagian dalam Sektor A menggunakan tangki semburan, manakala Team 2 memadam kebakaran di Sektor B menggunakan sumber air terbuka dari parit.
“Pada sebelah petang, kedua-dua pasukan meneruskan pemadaman di Sektor D menggunakan satu unit pam dengan satu aliran sepanjang kira-kira 1,000 kaki, dengan sumber air dari dam.
“Jentera FRWT turut mengambil air dari pili bomba di kawasan Stolport bagi menyokong operasi pemadaman,” kata kenyataan itu.
Operasi berdepan cabaran sumber air yang terhad, khususnya kebergantungan kepada air parit, selain jarak pili bomba yang jauh dari kawasan kebakaran.
Usaha pemadaman turut dibantu 11 anggota RELA, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta sebuah jentera Kobelco.
Pada jam 3 petang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas, turut mengunjungi lokasi kejadian bagi meninjau operasi pemadaman yang sedang dijalankan.
Operasi diketuai Ketua BBP Betong, PPgB Muhd. Badrulamin Mohd. Fodzi dan masih diteruskan sehingga baki kawasan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya. -TVS

9 hours ago
9








English (US) ·