ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Ketua Penerangan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyambut baik pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya isu kedudukan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak dilihat sebagai agenda nasional.
Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana kedudukan berkenaan mempunyai kaitan dengan asas pembentukan Malaysia serta amanah yang diwariskan pemimpin terdahulu.
“Perdana Menteri mahu perkara ini dilihat sebagai satu agenda nasional, bukan hanya perkara yang dilihat oleh Ahli Parlimen atau mereka dari Sabah dan Sarawak yang menuntutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu pada majlis pelancaran Borneo Jazz Festival 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu dilihat dari perspektif lebih luas, khususnya bagi memastikan kepentingan generasi akan datang terus terpelihara.
Katanya, kedudukan satu pertiga itu juga berkait rapat dengan susunan perwakilan ketika pembentukan Malaysia pada 1963, yang pada ketika itu membabitkan Sabah, Sarawak dan Singapura.
Abdul Karim berkata, Sarawak akan terus memperjuangkan perkara berkenaan supaya mendapat perhatian sewajarnya di peringkat nasional, selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.
“Adalah sangat baik apabila Perdana Menteri melihat dan membicarakan perkara ini sebagai satu agenda nasional yang perlu dilihat sekarang. Kita akan cuba bergerak ke arah itu,” katanya.

11 hours ago
7








English (US) ·