ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Aset lebihan industri yang tidak lagi digunakan masih berpotensi menjana nilai ekonomi dan perlu dioptimumkan bagi menyokong sasaran ekonomi Sarawak sebanyak RM282 bilion menjelang 2030.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, syarikat di Sarawak perlu melihat mesin, peralatan dan aset lebihan bukan sekadar sebagai bahan untuk dilupuskan, sebaliknya sebagai sumber yang boleh dimanfaatkan semula bagi mengurangkan pembaziran dan menjana nilai baharu.
“Kita juga perlu bijak mengurus modal yang sudah berada dalam sistem kita. Modal yang tidak digunakan, dalam bentuk peralatan terbiar, mesin yang telah dihentikan penggunaannya atau aset industri berlebihan.
“Itu merupakan modal yang tidak menyumbang kepada negeri dan juga merupakan kos yang tidak mampu ditanggung oleh Sarawak ketika kita mempercepatkan usaha mencapai matlamat pembangunan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian BidMyAsset Borneo di sini, hari ini.
Dr Hazland berkata, pendekatan mengoptimumkan aset sedia ada adalah selari dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan ekonomi kitaran serta memastikan sumber yang ada terus memberikan nilai kepada ekonomi.
Menurutnya, modal yang terikat dalam aset tidak digunakan boleh diaktifkan semula sekiranya aset berkenaan dijual, dipindahkan atau digunakan oleh pihak yang memerlukannya.
Katanya, sektor seperti minyak dan gas, pembuatan, perhutanan dan pertanian antara industri yang sedang melalui perubahan operasi, sekali gus membuka ruang untuk aset yang tidak lagi diperlukan dipindahkan kepada pihak lain.
Dalam pada itu, beliau berkata penglibatan sektor swasta amat penting dalam memastikan aset dan modal terus beredar dalam ekonomi serta tidak terbiar sehingga menjadi kerugian.
“Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah yang jelas dan terancang dalam memberi isyarat hala tuju ini kepada sektor swasta untuk melihat bagaimana mereka menguruskan aset dan membuat keputusan yang akan memastikan modal kekal aktif serta produktif dalam ekonomi Sarawak.
“Apa yang kita lihat hari ini adalah tepat seperti tindak balas sektor swasta yang kita alu-alukan apabila perniagaan membina platform, kerjasama dan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan serta peralihan industri Sarawak,” ujarnya.

11 hours ago
6








English (US) ·